Saturday, October 31, 2009

Seloka PMMS..
















Aidilfitri 2009@ Petronas Sudan

nukilan oleh: Kak Khalida PMMS

Keluarga bahagia bagaikan permata,
Peranan sang bapa sebagai ketua,
Ibu di sisi pembantu setia,
Nizam dan Azma bakal menimang cahaya.

Manis bicara manis rautnya,
Kasih dibina utuh laksana,
2 tahun berlalu tiada terasa,
Yaakob dan Rahimah memang ceria.

Berpindah benua mendamba ilmu,
Buat bekalan kehidupan yang satu,
Biar rindu bersarat padu,
Azhan pasti bertahan tunggu.

Rumah tertutup pintu terbuka,
Kawasan dapur memang dia suka,
Marilah ikut kalau nak rasa,
Masakan Azam memang tak sama.

Rumah menyapa setia bertapa,
Jasad di sini jiwa di sana,
Hajat di hati belum dilaksana,
Sabarlah Umar pujangga kembara.

Cermin di mata pandang merata,
Perihal adab di tangan sudah,
Selang sebulan hajikan tiba,
Irfan pulang dua ijazah.

Tok Imam Tok Siak berkawan rapat,
Masjid tempat Irwan beribadat,
Menanti Firdaus laungkan qamat,
Ingat Allah pohonkan rahmat.

Adik abang belajar bersama,
Satu pasukan BKKS namanya,
negeri lain daerah tak sama,
Eizaz dan Osman sehati sejiwa.

Daerah Jitra di hujung dunia,
Pergi membeli earphone ternama,
Ramah mesra tak kira bangsa,
Mohd Fazlii itulah orangnya.

Roti dicanai Mee dikisar,
Mitco tempat ilmu diamal,
Pancing dipacak rehlah dianjur,
Albo exco kebajikan unggul.

Yaman Negara kembara bermula,
Ilmu ditimba Quran di dada,
Jangan Harun malu bersuara,
Pengalaman diri dikongsi bersama.

Kaki bertapak melangkah laju,
Kalbu padat dengan restu ibu,
Ahlan wasahlan buat si bongsu,
Nazri selamatlah menimba ilmu

Asal Kedah Negara Malaysia,
Hafiz muda Quran dicinta,
Orangnya kecil banyak bicara,
Zaim pengganti guru-guru KAFA.

Bertubuh tinggi melebihi semua,
Mulut pendiam kurang berkata,
Rezeki murah rahmat dari-Nya
Akmal ke Mekah kita pesan doa.

Biru gelap warna kegemaran,
Hati pemurah tulangnya ringan,
Duduk seorang suka berangan,
Itulah Dalila tak pernah baran.

Bahasa Arab jadi pilihan,
Rajin bertanya memang tak tahan,
Petah berbicara itulah gelaran,
Nisa baru tiba tak sampai lima bulan.

Datang berteman keluarga tercinta,
Empat tahun bersama korban bermula,
Hati terlintas ingin pulang segera,
Ukhuwah melekat Raadhiyah kekal jua.

Syai diteguk di depan Jamiah,
Pergi dan pulang dengan rakan sekuliyah,
Nampak diam tetapi peramah,
Fauzan memang abang Umme Syahadah

Habislah sudah seloka kita,
Ada yang benar ada yang reka,
Alahai kawan janganlah murka,
Saya Khalida hanya bercanda.

Bakat di dada diasah dengan pena,
Rasa dihati dicurah semua,
As-Syabab dinanti tak sabar rasanya,
Jom kita pakat mencurah idea.

Semangat Baru..

Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang-Nya kita masih boleh menikmati hembusan nafas kita, masih diberikan umur yang panjang oleh Yang Mulia Allah s.w.t sehingga kita masih diberi kesempatan untuk selalu beribadah kepada-Nya.

Bulan yang mulia Ramadhan telah meninggalkan kita, bulan yang mana kita mendapatkan pendidikan langsung daripada Allah s.w.t. untuk boleh mengendalikan hidup kita dengan lebih baik lagi, hikmah yang ada wahai muslimin dan muslimat amatlah besar sekali.
Sekarang ramadhan telah berlalu memberikan kita semangat yang baru untuk selalu mendekatkan diri kepadaNya, salah satu alamat kita menikmati bulan suci itu, kita akan lebih bertaqwa kepadanya, bisa lebih mengendalikan diri dan hati kita.
Berzikir selalu kepada-Nya, dimanapun kita berada. Allah s.w.t. berfirman : “Ingatlah Allah di waktu berdiri, di waktu duduk dan di waktu berbaring..” ( an-Nisa’: 103 )

Beribadah kepada Allah hendaklah selalu disertai rasa takut dan harap serta mahabbah. Mengharapkan pahala ketika beribadah adalah benar dan memang itulah diantara ajaran al-Qur’an dan as-Sunnah akan tetapi tentu saja kita harus memahami hikmah, tujuan dan pesan moral dari ibadah itu sendiri, seperti puasa Ramadhan tujuan utamanya adalah menjadikan seseorang itu bertakwa. Allah s.w.t berfirman: “wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (al-Baqarah: 183). Apalah ertinya seseorang yang ahli beribadah akan tetapi ibadah tersebut tidak mengubah akhlaknya yang buruk. Orang yang memperolehi kemenangan pada bulan Ramadhan adalah orang yang tetap istiqamah dengan kebaikkan setelah selesai Ramadhan kerana ibadah bukan hanya pada bulan Ramadhan akan tetapi seorang mukmin beribadah kepada Allah s.w.t. sampai datang kepadanya kematian. Allah s.w.t berfirman: “Dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal).” (al-Hijr: 99).

Janganlah kita menjadi orang-orang yang hanya mengenal Allah s.w.t di bulan Ramadhan sahaja, malahan kita hendaklah menjadi seseorang yang selepas Ramadhan lebih dekat lagi kepada Allah s.w.t, kerjakan ibadah baik yang wajib mahupun yang sunat.

Besemangat dalam melaksanakan ibadah-ibadah sunat meskipun hanyak sedikit, kerana sesungguhnya amalan sunat yang sentiasa kita kerjakan meskipun sedikit itu lebih disukai Allah s.w.t. berbanding amalan yang banyak tapi tidak selalu dikerjakan sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.
.
“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami, dan karuniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; karena sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (karunia)..” (ali-Imran : 8)

Suasana Ramadhan telah pun hampir-hampir hilang yang ada hanyalah suasana rumah terbuka (suasana makan minum). Waktu Sahur hanyalah kedengaran bunyi dengkuran dari mereka yang tidur nyenyak. Tiada lagi bunyi percikan air paip hasil dari berwudhuk untuk bertahajud. Tiada lagi kedengaran suara istighfar yang sayup-sayup kedengaran ditelan kesunyian malam. Di mana mereka yang “kaki Tahajud”? Di mana mereka yang dahinya hitam kesan dari sujud di malam hari? Di mana mereka yang selalu sibuk dengan solat sunatnya? Ke manakah perginya “al mustaghfirina bil ashar”? Telah hilang lenyapkah mereka?

Tiada lagi si dia yang sentiasa dengan biji tasbih bertasbih di penjuru masjid menunggu waktu solat. Biji-biji tasbih yang tergantung di dinding masjid telah kembali tergantung. Tiada lagi yang ingin menggunakannya.Kemana perginya semua “zakirin” sewaktu Ramadhan ? Telah hilang lenyapkah mereka?

Beginilah keadaan Ramadhan yang ada di sisi kita. Sedangkan Ramadhan mengajar dan mendidik kita segala amalan takwa maknanya himpunan segala amalan takwa terdapat di dalam Ramadhan. Bukan hanya sekadar puasa sahaja tetapi di dalamnya terdapat bangun malam. Ramadhan mengajar kita bangun di waktu sahur selama satu bulan agar kita menjadi golongan yang bertahajud dan beristighfar di waktu sahur. Ramadhan berkait rapat dengan Quran agar kita menjadi “Sohibul Quran” sebagaimana firman Allah surah al-Baqarah :185. Ramadhan mengajar kita berbanyak berdoa agar kita sentiasa mengharap dan meminta hanya kepada Allah s.w.t. juga. Ramadhan menjadi kita agar sentiasa berhubung dan berulang alik ke masjid dengan cara berkurung diri di dalam masjid dengan beriktikaf. Ramadhan mengajar bersimpati dengan fakir dan miskin.

Berdasarkan perkara yang disebutkan di atas, Ramadhan sebenarnya mengajar umat ini kepada amalan takwa, amalan berkaitan hubungan dengan Allah serta amalan berkaitan hubungan sesama manusia. Atas sebab inilah maka di akhir ayat surah al-Baqarah ayat 183 Allah s.w.t. berfirman “La’allakum Tattaqun”. Moga-moga kamu tergolong dikalangan orang-orang yang “bertakwa”.

Sesetengah ulama mengatakan bahawa tanda haji yang “mabrur” yang diterima adalah apabila pulang dari mengerjakan haji, para-para hujaj (haji) dapat mengekalkan amalan takwa ketika di Tanah Suci pulang ke tempat mereka. Manakala tanda puasa yang diterima adalah mereka yang berpuasa dapat membawa amalan takwa di dalam Ramadhan ke sebelas bulan selain Ramadhan.

Bila dilihat selepas Ramadhan, jelas Iman kita hanya terkesan dengan suasana. Bila hilang suasana maka hilanglah amalan kita. Tidak seperti sahabat r.hum, iman mereka tidak terkesan dengan suasana. Di mana sahaja mereka pergi mereka masih boleh mengekalkan amalan mereka malah mereka boleh merubah suasana lalai menjadi suasana taat.

Ramadhan mengajar kita simpati dengan mereka yang lapar dan dahaga. Buktinya tidak ada satu keinginan bagi mereka yang lapar dan dahaga adalah berhajat kepada makanan dan minuman. Dalam pada itu disabitkan dari hadis Nabi s.a.w riwayat Ibn Khuzaimah kita disunatkan memberi kepada mereka yang berbuka dengan makanan dan minuman miskin pun sebiji tamar mahupun sesisip susu setiap hari ketika waktu berbuka.

Kemuncak dari belas kasihan kepada fakir dan miskin ini syariat telah menetapkan secara ‘wajib’ membawa beras fitrah dan mencari fakir dan miskin (asnaf lapan) memberi kepada mereka agar mereka boleh bergembira menyambut Hari Raya. Jika tidak berbuat demikian, puasa mereka akan terawang-awang sehingga mereka menjelaskan zakat fitrah berkenaan. Ini untuk menzahirkan perasaan kesian belas kepada fakir dan miskin agar mereka tidak kelaparan dan kedahagaan.

Namun kelaparan dan kedahagaan masih boleh ditelan Nabi s.a.w apabila beliau melihat anaknya Fatimah, cucunya Hassan dan Husain di dalam kelaparan serta anak-anak yang mati kelaparan di Lembah Abu Talib takala di pulaukan. Kalau memikirkan kasihan kerana kelaparan dan dahaga, Nabi s.a.w. masih boleh menelannya. Namun kemuncak kesian Nabi s.a.w. kasihan kepada umat yang mati dengan tidak beriman yang akan kelaparan dan dahaga ketika didalam kubur, Mahsyar , Mizan dan Neraka Jahanam selama-lamanya.

Inilah yang ditangisi oleh Nabi s.a.w dan para sahabat baginda semalam-malaman memikirkan soal umat yang akan menderita kelaparan dan dahaga nanti. Ini juga yang menyebabkan Nabi dan sahabat meninggalkan keselesaan hidup dan bersusah payah atas jalan hidayat.

Wahai Allah, sayangilah kami dengan kasih sayang yang sempurna yang nyata dan tersembunyi, dengan kasih sayang yang boleh mendapat ketenangan hati, kasih sayang yang dapat menghilangkan yang kotor, kasih sayang yang dapat melunasi hutang, kasih sayang yang dapat memudahkan semua urusan, kasih sayang yang dapat membendung semua keburukan dan kasih sayang yang menjadikan kami termasuk di kalangan orang-orang yang berada dekat dengan Allah serta kami diberi rezeki keyakinan yang sempurna..Wahai Allah, hidupkanlah kami di atas Islam dan Sunnah, dan matikanlah aku dalam keadaan Iman dan Taubat.


Wallahua’lam..

Thursday, October 15, 2009

Dia Setia Di Sisimu..

“Carilah ilmu dan hikmah dalam setiap ketentuan Allah, supaya timbul rasa kesabaran dan kesyukuran. Setiap yang payah pasti ada kesenangan. Setiap kesabaran pasti ada ganjaran. Jika sesuatu sudah ditakdirkan untuk kita, tiada siapa yang boleh memberi halangan. Namun, jika sesuatu ditakdirkan bukan untuk kita, pasti dan pasti tidak akan dapat walaupun sudah berada dalam genggaman..”

Ketahuilah wahai saudara-saudaraku sekalian, semoga Allah merahmatiku dan kalian, serta dipimpinNya bersama orang yang bertaqwa. Memadailah kita dengan hanya mempercayai ketentuan dan ketetapan Allah s.w.t. sama ada yang baik dan yang buruk sesuatu perkara, bahagia dan derita, jodoh pertemuan dan ajal kematian. Kita tidak akan terasa nikmatnya hidup, tidak akan terasa nikmatnya sihat dan tidak akan terasa nikmatnya bahagia kecuali dengan hanya kita merasakan derita, kesulitan dan musibah yang berada disebaliknya. Namun Nabi s.a.w melarang mendalami dalam persoalan takdir, disebabkan perbuatan tersebut mengandungi bibit-bibit bahaya dan banyak mudharat sebenarnya.
Rasulullah s.a.w sebagai Sang Murobbi yang agung, pembawa kepada jalan kemuliaan. Selalu membawa kita untuk bahagia di dunia dan di akhirat. Maka, kita hendaklah mengerah diri kita untuk mematuhi perintah Allah s.w.t dan menjauhi tegahanNya dengan petunjuk Rasulullah s.a.w. Kemudian hendaklah kita sentisa bertaubat atas kecuaian kita dalam melaksanakan segala perintah dari Allah s.w.t. Kata al-Habib Munzir al-Musawwa dalam mau’idzah hasanah beliau: “Bila kita terjebak dalam hal yang hina disisi Allah, perindahkanlah dengan taubat dan istighfar, nescaya Allah menggantikan itu semua menjadi pahala dan keluhuran, Mereka yang bertaubat, beriman, beramal soleh, Allah s.w.t akan perbaiki dirinya dengan hal yang mulia semampunya. Allah gantikan dosa-dosa mereka menjadi pahala.” Baginda s.a.w juga mengajarkan doa dan selalu mengajarkan munajat dalam segala hal. Yang mana kehidupan ini tidak akan pernah terlepas dari doa-doa. Bukankah Allah s.w.t telah berfirman; “Berdoalah padaku, nescaya Kuperkenankan permintaan kalian”. Justeru jangan kita sia-siakan peluang yang Allah s.w.t kurniakan ini hinggalah kita mendapatkan kesan positif seperti yang dijanjikan itu. Ayuh segera kembali ke pangkuan rahmat Allah s.w.t.!

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” (al-Baqarah: 186).
Sekiranya datang ujian mahupun musibah di hadapan kita. Pertama sekali perlulah seseorang hamba itu bersangka baik terhadap Sang Pencipta dengan meyakini ia merupakan tarbiyah dari Allah s.w.t. Juga asbab dosa seseorang itu diampunkan dan darjatnya di sisi Allah s.w.t insyaAllah akan ditingkatkan. Seterusnya perlulah bersabar dan kuatkan kesabaran tersebut disamping mengerjakan sembahyang untuk memohon pertolongan dari Allah s.w.t. Dengan hanya kepada Allah s.w.t kita bertawakkal setelah berusaha maka cukuplah Allah s.w.t sahaja bagi kita untuk menentukan segalanya. Kita perlulah sentiasa merasakan iman dan dan amal kita masih belum sempurna dengan meningkatkan perkara tersebut ke arah kesempurnaan.

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” (al-Ankabut:2-3).

Imam Syafie r.a. dalam wasiatnya berkata: “Cubaan hidup itu sering sekali datang, mempengaruhi hati para pemuda. Namun ketika mereka bertaqwa, Allah s.w.t akan berikan jalan keluarnya.”, kata Imam kita r.a. lagi berkaitan redha terhadap qadha’ dan qadar : “Biarkanlah hari-hari berlalu. Lapangkanlah jiwamu apabila menerima keputusan qadha’. Jangan bosan bersabar apabila dirtimpa musibah, kerana di dunia ini tidak ada derita yang abadi. Tidak ada kebahagiaan dan penderitaan abadi, seperti halnya kekayaan dan kemiskinan.” Hidup di perantauan ini akan selalu dilanda gelisah dan musibah, takut bagai dikejar perompak. Tapi kalau terambil sedikit masa untuk mengingati kembali keluarga dan tanah air, mungkin rasanya ingin segera terbang menuju ke tanah air tercinta semula. Tapi, niat asal dan tujuan utama masih membara di dalam jiwa untuk mencicip titisan ilmu dari lautan ilmu yang terbentang luas.

Ketahuilah, masa akan datang yang ada tujuan mungkin terasa begitu jauh untuk sampai kepada destinasi tersebut, tetapi masa yang sudah berlalu, hari demi hari, bulan demi bulan dan tahun demi tahun pasti akan terasa seperti baru sahaja terjadi semalam. Benar atau tidak ternyata kita perlu juga melalui detik-detik waktu yang sedang bergerak ini. Masa usia kita jangan disia-siakan kerana masa yang yang berlalu tidak akan kembali lagi, dikhuatiri akan kita akan menyesal dan menangis di kemudian hari, pada waktu tersebut kalau boleh menangis hingga mengalirkan air mata darah sekalipun tidak akan berguna lagi. Ingatlah! Manfaatkanlah setiap detik-detik waktu yang sedang dilalui ini kerana Allah s.w.t telah bersumpah dengan masa : “Demi Masa ! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” Mufassirin mengatakan bahawa semua manusia berada dalam kerugian tanpa sebarang pengecualian melainkan.. Siapa? Seseorang yang memiliki 4 sifat yang termaktub dalam surah al-Asr sahaja iaitu :


1) Beriman
2) Beramal soleh
3) Berpesan-pesan dengan kebenaran
4) Berpesan-pesan dengan kesabaran.

Mungkin sesekali mutiara jernih akan mengalir keluar dari kelopak mata, terasa sejuk bagai embun pagi yang melalui di atas permukaan pipi. Kenapa ya? Barangkali 1001 perkara yang direnungi dan dihayati hingga membuatkan keadaan tersebut terpaksa dilalui. Cuma sekarang hanya perlu berdoa dan bertawajjuh kepada Allah kerana di hadapan kita terdapat nafsu al-ammarah bis suu’ dari pelbagai fitnah dunia dan syaitan dari kalangan jin dan manusia dan fitnah yang mengganggu kita, ahli keluarga kita dan sahabat-sahabat kita yang bakal menjadi mangsa fitnah tersebut. Apabila kita meminta kepada Allah, pasti Dia akan menolong kita. Bila kita minta rahmat Allah, pasti Dia akan merahmati kita. Bila kita berlaku jujur kepada Allah, Allah pasti akan bantu kita. Yakinlah! Allah s.w.t sesekali tidak akan menzalimi dan membebani hamba-hambaNya melainkan dengan kesanggupan seseorang hamba itu.

Semoga Allah s.w.t menghiasi jiwa kita dengan keindahan, mewarisi jiwa kita dengan sifat syukur. Ya Malikul Mulk, Tuhan yang maha menerbitkan matahari kebahagiaan, terbitkanlah matahari kebahagiaan dalam hari-hari kami di dunia dan di akhirat, zahir dan batin. Jadikan jiwa kami selalu terang-benderang dengan cahaya kesejukkan namaMu, jadikan jiwa kami selalu tenang dalam cahaya kenikmatan dan kesejukkan namaMu, Jadikan hari-hari kami selalu dalam kebahagiaan dunia dan akhirat. Ya Rahman, Ya Rahim, padaMu kami bermunajat atas segala doa dan harapan, dari segala hajat kami yang kami ketahui dan yang tidak kami ketahui, jauhkan kami dari segala musibah dan kesulitan yang kami ketahui dan tidak kami ketahui. Limpahkan untuk kami segala kemudahan dan anugerah yang kami ketahui dan yang belum kami ketahui.." amin Allahumma amin..

“Bila kau diuji dengan kekecewaan dalam menuntut ilmu, Allah tahu betapa engkau mencuba sedaya upayamu. Bila tangisanmu berpanjangan dan hatimu dalam kedukaan, Allah mengira setiap titisan air matamu. Bila engkau merasakan hidupmu ketinggalan dan masa telah meninggalkanmu, ketahuilah ALLAH MASIH SETIA DI SISIMU”

Wallahua’lam..