Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang-Nya kita masih boleh menikmati hembusan nafas kita, masih diberikan umur yang panjang oleh Yang Mulia Allah s.w.t sehingga kita masih diberi kesempatan untuk selalu beribadah kepada-Nya.
Bulan yang mulia Ramadhan telah meninggalkan kita, bulan yang mana kita mendapatkan pendidikan langsung daripada Allah s.w.t. untuk boleh mengendalikan hidup kita dengan lebih baik lagi, hikmah yang ada wahai muslimin dan muslimat amatlah besar sekali.
Sekarang ramadhan telah berlalu memberikan kita semangat yang baru untuk selalu mendekatkan diri kepadaNya, salah satu alamat kita menikmati bulan suci itu, kita akan lebih bertaqwa kepadanya, bisa lebih mengendalikan diri dan hati kita.
Berzikir selalu kepada-Nya, dimanapun kita berada. Allah s.w.t. berfirman : “Ingatlah Allah di waktu berdiri, di waktu duduk dan di waktu berbaring..” ( an-Nisa’: 103 )
Beribadah kepada Allah hendaklah selalu disertai rasa takut dan harap serta mahabbah. Mengharapkan pahala ketika beribadah adalah benar dan memang itulah diantara ajaran al-Qur’an dan as-Sunnah akan tetapi tentu saja kita harus memahami hikmah, tujuan dan pesan moral dari ibadah itu sendiri, seperti puasa Ramadhan tujuan utamanya adalah menjadikan seseorang itu bertakwa. Allah s.w.t berfirman: “wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (al-Baqarah: 183). Apalah ertinya seseorang yang ahli beribadah akan tetapi ibadah tersebut tidak mengubah akhlaknya yang buruk. Orang yang memperolehi kemenangan pada bulan Ramadhan adalah orang yang tetap istiqamah dengan kebaikkan setelah selesai Ramadhan kerana ibadah bukan hanya pada bulan Ramadhan akan tetapi seorang mukmin beribadah kepada Allah s.w.t. sampai datang kepadanya kematian. Allah s.w.t berfirman: “Dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal).” (al-Hijr: 99).
Janganlah kita menjadi orang-orang yang hanya mengenal Allah s.w.t di bulan Ramadhan sahaja, malahan kita hendaklah menjadi seseorang yang selepas Ramadhan lebih dekat lagi kepada Allah s.w.t, kerjakan ibadah baik yang wajib mahupun yang sunat.
Besemangat dalam melaksanakan ibadah-ibadah sunat meskipun hanyak sedikit, kerana sesungguhnya amalan sunat yang sentiasa kita kerjakan meskipun sedikit itu lebih disukai Allah s.w.t. berbanding amalan yang banyak tapi tidak selalu dikerjakan sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.
.
“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami, dan karuniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; karena sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (karunia)..” (ali-Imran : 8)
Suasana Ramadhan telah pun hampir-hampir hilang yang ada hanyalah suasana rumah terbuka (suasana makan minum). Waktu Sahur hanyalah kedengaran bunyi dengkuran dari mereka yang tidur nyenyak. Tiada lagi bunyi percikan air paip hasil dari berwudhuk untuk bertahajud. Tiada lagi kedengaran suara istighfar yang sayup-sayup kedengaran ditelan kesunyian malam. Di mana mereka yang “kaki Tahajud”? Di mana mereka yang dahinya hitam kesan dari sujud di malam hari? Di mana mereka yang selalu sibuk dengan solat sunatnya? Ke manakah perginya “al mustaghfirina bil ashar”? Telah hilang lenyapkah mereka?
Tiada lagi si dia yang sentiasa dengan biji tasbih bertasbih di penjuru masjid menunggu waktu solat. Biji-biji tasbih yang tergantung di dinding masjid telah kembali tergantung. Tiada lagi yang ingin menggunakannya.Kemana perginya semua “zakirin” sewaktu Ramadhan ? Telah hilang lenyapkah mereka?
Beginilah keadaan Ramadhan yang ada di sisi kita. Sedangkan Ramadhan mengajar dan mendidik kita segala amalan takwa maknanya himpunan segala amalan takwa terdapat di dalam Ramadhan. Bukan hanya sekadar puasa sahaja tetapi di dalamnya terdapat bangun malam. Ramadhan mengajar kita bangun di waktu sahur selama satu bulan agar kita menjadi golongan yang bertahajud dan beristighfar di waktu sahur. Ramadhan berkait rapat dengan Quran agar kita menjadi “Sohibul Quran” sebagaimana firman Allah surah al-Baqarah :185. Ramadhan mengajar kita berbanyak berdoa agar kita sentiasa mengharap dan meminta hanya kepada Allah s.w.t. juga. Ramadhan menjadi kita agar sentiasa berhubung dan berulang alik ke masjid dengan cara berkurung diri di dalam masjid dengan beriktikaf. Ramadhan mengajar bersimpati dengan fakir dan miskin.
Berdasarkan perkara yang disebutkan di atas, Ramadhan sebenarnya mengajar umat ini kepada amalan takwa, amalan berkaitan hubungan dengan Allah serta amalan berkaitan hubungan sesama manusia. Atas sebab inilah maka di akhir ayat surah al-Baqarah ayat 183 Allah s.w.t. berfirman “La’allakum Tattaqun”. Moga-moga kamu tergolong dikalangan orang-orang yang “bertakwa”.
Sesetengah ulama mengatakan bahawa tanda haji yang “mabrur” yang diterima adalah apabila pulang dari mengerjakan haji, para-para hujaj (haji) dapat mengekalkan amalan takwa ketika di Tanah Suci pulang ke tempat mereka. Manakala tanda puasa yang diterima adalah mereka yang berpuasa dapat membawa amalan takwa di dalam Ramadhan ke sebelas bulan selain Ramadhan.
Bila dilihat selepas Ramadhan, jelas Iman kita hanya terkesan dengan suasana. Bila hilang suasana maka hilanglah amalan kita. Tidak seperti sahabat r.hum, iman mereka tidak terkesan dengan suasana. Di mana sahaja mereka pergi mereka masih boleh mengekalkan amalan mereka malah mereka boleh merubah suasana lalai menjadi suasana taat.
Ramadhan mengajar kita simpati dengan mereka yang lapar dan dahaga. Buktinya tidak ada satu keinginan bagi mereka yang lapar dan dahaga adalah berhajat kepada makanan dan minuman. Dalam pada itu disabitkan dari hadis Nabi s.a.w riwayat Ibn Khuzaimah kita disunatkan memberi kepada mereka yang berbuka dengan makanan dan minuman miskin pun sebiji tamar mahupun sesisip susu setiap hari ketika waktu berbuka.
Kemuncak dari belas kasihan kepada fakir dan miskin ini syariat telah menetapkan secara ‘wajib’ membawa beras fitrah dan mencari fakir dan miskin (asnaf lapan) memberi kepada mereka agar mereka boleh bergembira menyambut Hari Raya. Jika tidak berbuat demikian, puasa mereka akan terawang-awang sehingga mereka menjelaskan zakat fitrah berkenaan. Ini untuk menzahirkan perasaan kesian belas kepada fakir dan miskin agar mereka tidak kelaparan dan kedahagaan.
Namun kelaparan dan kedahagaan masih boleh ditelan Nabi s.a.w apabila beliau melihat anaknya Fatimah, cucunya Hassan dan Husain di dalam kelaparan serta anak-anak yang mati kelaparan di Lembah Abu Talib takala di pulaukan. Kalau memikirkan kasihan kerana kelaparan dan dahaga, Nabi s.a.w. masih boleh menelannya. Namun kemuncak kesian Nabi s.a.w. kasihan kepada umat yang mati dengan tidak beriman yang akan kelaparan dan dahaga ketika didalam kubur, Mahsyar , Mizan dan Neraka Jahanam selama-lamanya.
Inilah yang ditangisi oleh Nabi s.a.w dan para sahabat baginda semalam-malaman memikirkan soal umat yang akan menderita kelaparan dan dahaga nanti. Ini juga yang menyebabkan Nabi dan sahabat meninggalkan keselesaan hidup dan bersusah payah atas jalan hidayat.
Wahai Allah, sayangilah kami dengan kasih sayang yang sempurna yang nyata dan tersembunyi, dengan kasih sayang yang boleh mendapat ketenangan hati, kasih sayang yang dapat menghilangkan yang kotor, kasih sayang yang dapat melunasi hutang, kasih sayang yang dapat memudahkan semua urusan, kasih sayang yang dapat membendung semua keburukan dan kasih sayang yang menjadikan kami termasuk di kalangan orang-orang yang berada dekat dengan Allah serta kami diberi rezeki keyakinan yang sempurna..Wahai Allah, hidupkanlah kami di atas Islam dan Sunnah, dan matikanlah aku dalam keadaan Iman dan Taubat.
Wallahua’lam..
No comments:
Post a Comment