Saturday, January 22, 2011

Keadaan Ummat Islam di Australia..


Bayan maghrib berserta karguzari(laporan) disampaikan oleh jemaah Australia di Masjid Jamek Bandar Baru Seri Petaling pada 4 Muharam 1429 bersamaan 13hb Januari 2008. Teks bayan ini bersumber atau ditulis oleh: "Azharjaafar".

Ringkasan bayan;

(selepas memuji Allah dan berselawat kepada Nabi SAW dan membaca dua potong ayat al-Quran)

1. Allah SWT telah pilih kita untuk lahir sebagai orang Islam. Sebelum kita lahir ke dunia, kita tidak pernah diberi pilihan untuk menjadi muslim atau pun kafir. Semata-mata dengan sifat rahim Allah telah menjadikan kita sebagai seorang muslim. Jadi, kita kena bersyukur atas nikmat ini.

2. Allah telah menghantar kita sebagai umat Muhammad SAW dengan satu maksud yang sangat besar iaitu sebagaimana maksud semua Nabi telah dihantar.

3. Allah telah jadikan manusia mempunyai jasad dan roh. Perkara paling berharga bagi manusia (supaya jasad dan roh ini dapat dimanfaatkan) adalah masa. Seorang yang kematian isteri, boleh cari isteri yang lain. Seorang yang kematian anak, boleh dapat anak yang lain. Seorang yang rumahnya terbakar, boleh cari rumah yang lain. Seorang yang perniagaannya bankrap, boleh bina perniagaan yang lain. Tetapi seorang yang telah berlalu masanya, masa itu tidak dapat diganti semula. Masa yang berlalu akan terus pergi buat selama-lamanya.

4. Allah begitu kasih kepada orang-orang beriman sehingga menjadikan sekecil-kecil perkara sebagai sebab penghapus dosa. Sehingga tercucuk duri pun Allah akan hapuskan dosa dari buku catatan. Diceritakan kisah seoarng raja kafir yang zalim ketika hendak mati berhajat untuk makan sejenis makanan yang sukar didapati. Allah telah perintah malaikat untuk dapatkan makanan itu untuk raja tersebut. Selepas makan, raja itu telah mati. Dalam kisah yang lain pula seorang alim yang warak ketika hendak mati telah meminta sedikit air. Apabila orang datang membawa air, Allah telah perintah kepada malaikat untuk tepis cawan sehingga air tertumpah dan orang warak itu mati tanpa dapat minum air. Kedua-dua malaikat telah datang mengadap Allah dan mengadukan hal tersebut. Allah berfirman kepada kedua malaikat tersebut bahawa ketika hidup, raja yang zalim tersebut dia telah buat satu kebaikan dan Allah hendak mambalas kebaikan tersebut di dunia dan azab yang kekal menantinya di akhirat kerana kekafirannya. Manakala orang warak tersebut telah berbuat satu dosa ketika hidup dan Allah hendak menghapuskan dosa tersebut ketika di dunia dan memberikan keselamatan kepadanya di akhirat.

5. Di akhirat nanti, orang yang dalam hatinya ada iman walau sebesar zarah akan dikeluarkan juga akhirnya dari neraka. Manakala orang kafir akan kekal di dalamnya.

6. Dakwah dan iman adalah dua perkara yang berkaitan. Adanya dakwah maka adalah iman. Jika dakwah tiada, maka iman akan keluar dari hati-hati manusia. Nabi Nuh as telah buat usaha dakwah selama 950 tahun siang dan malam. Kemudian baginda telah berdoa supaya jangan ditinggalkan di atas dunia ini walaupun satu orang kafir. Maka Allah telah hantar banjir yang besar dan menenggelamkan semua orang kafir. Yang terselamat hanyalah nabi Nuh as dan orang-orang yang beriman. Selepas kewafatan nabi Nuh as, dakwah telah terhenti. Dari keturunan orang yang beriman tadi akhirnya telah kembali kufur kepada Allah.

7. Pada kurun ke-18, orang British telah menakluki Australia dan mendapati ada 3 buah gurun yang besar di sana. Untuk menyelesaikan masalah pengangkutan mereka telah membawa 120 ekor unta untuk digunakan mengangkut barang-barang di padang pasir. Oleh kerana mereka tidak tahu mengendalikan unta, maka mereka telah membawa ramai orang-orang Islam dari benua India yang kebanyakannya berketurunan afghan. Di kalangan pekerja-pekerja ini terdapat sejumlah bilangan dari golongan ulama. Ulama-ulama ini telah membina 60 masjid dan 3 daripadanya yang berusia lebih 100 tahun masih bertahan sehingga kini. Malangnya bila usaha dakwah ditinggalkan, keturunan dari mereka ini tidak kenal Islam walaupun nama-nama mereka seperti nama-nama Islam.

8. Pada suatu masa, ada jemaah yang bergerak telah dibawa untuk jumpa 3 wanita tua dari keturunan pekerja-pekerja tersebut, yang masing-masing berumur lebih 85 tahun. Ternyata mereka tidak tahu apa-apa mengenai amalan Islam kecuali kalimah Laailaha illallah, Muhammadur rasulullah. Bila mereka nampak jemaah memegang tasbih ditangan, mereka mengatakan bapa-bapa mereka dahulu memegang tasbih seperti kamu. Jemaah telah menghadiahkan kepada mereka tasbih tersebut dan mereka rasa sungguh gembira.

9. Laporan satu jemaah lagi yang buat usaha di Thursday Island. Di sana, 90% penduduknya adalah dari keturunan Islam. Tetapi amalan Islam telah lenyap dari diri mereka. Jemaah telah dibawa berjumpa seorang lagi wanita tua berusia lebih 80 tahun. Bila wanita tua ini terlihat saja kepada jemaah (yang dalam keadaan berjanggut, berjubah, berserban), maka dia telah menjerit dengan mangatakan, ‘Muslim has come, muslim has come.’ Dia telah keluarkan satu beg dari bawah katil dan tunjuk kepada jemaah peninggalan arwah bapanya berupa sejadah dan beberapa kitab selawat. Perempuan tua itu bercerita semasa umurnya 10 tahun, bapanya telah meninggal dunia. Sebelum itu dia sempat berwasiat, ‘You don’t be worry. Muslim will come and take of you because muslim are always taking care of each other.’ Perempuan tua itu menambah, ‘And I have been waiting for you (muslim) for 70 years.’
(*Pembayan telah sebak dan menangis. Juga, kami yang dengar bayan).

10. Pembayan memberi laporan bahawa beliau telah berpindah ke Australia dari Tanah Arab pada tahun 1968. Walaupun ada 80 ribu orang Islam di Melbourne tetapi hanya ada 1 masjid sahaja. Itupun dibuka 2 kali setahun untuk solat hari raya. Solat Jumaat hanya dibuat oleh 3-4 orang disebuah surau yang lain. Beliau ada mendengar laporan bahawa jemaah pertama dihantar ke Australia adalah pada tahun 1962. Jemaah ini hanya mampu menangis dan berdoa apabila melihat keadaan agama pada umat.

11. Jemaah seterusnya dihantar pada tahun 1973. Jemaah ini balik dan beri laporan kepada Hadraji (amir dakwah dan tabligh) bahawa orang Islam di Australia sudah tiada harapan. Hadraji tidak berputus asa dan menghantar jemaah lagi pada tahun 1974 & 1975. Pada tahun 1975 ini, 3 orang tempatan (termasuk abang pembayan) telah bersedia untuk menghidupkan amalan ziarah pintu ke pintu untuk bertemu dengan orang-orang Islam. Beberapa lama amalan ini berterusan, mereka telah bermesyuarat dan memutuskan untuk meminta kunci masjid. Kunci masjid telah diberi kepada mereka dengan senang hati dan semenjak itu masjid tersebut tidak pernah ditutup lagi sehingga ke hari ini.

12. Amal-amal masjid telah dihidupkan. Jemaah-jemaah telah dikeluarkan dan usaha telah berkembang. Alhamdulillah, sekarang telah ada lebih 80 masjid dan surau di Melbourne. Madrasah-madrasah telah wujud. Anak-anak yang dulunya belajar di madrasah sekarang telah mengajar pula. Pembayan berkata, dengan matanya sendiri dia dapat melihat apabila dakwah ditinggalkan, dari keturunan ulama akan lahir orang-orang kufar. Apabila dakwah dijalankan, dari keturunan kufar, lahirnya ulama.

13. Kerja ini bukanlah kerja main-main. Bukan kerja yang dibuat kalau suka, dan ditinggal kalau malas. Ini adalah kerja, tanggungjawab kita sebagai umat Nabi SAW walaupun kita bukan Nabi. Ini adalah perintah Allah kepada kita.

14. Bila kita buat kerja ini, Allah pasti akan beri hidayat kepada manusia. Seluruh manusia sekarang sedang menanti-nanti kedatangan kita sebagai orang Islam kepada mereka (seperti kisah orang tua tadi).


15. Tashkil (ajakan untuk khuruj fisabilillah di jalan Allah).

# Semasa tashkil, pembayan menambah: "Jika seorang bapa menyuruh anaknya yang kecil terjun dari sebuah tempat tinggi dan dia akan menyambutnya; maka jika anaknya terjun, bapanya akan segera menyambut dan memeluk anaknya dengan kasih sayang dan tidak akan biarkan anaknya jatuh ke bawah. Allah lebih-lebih lagi kasih kepada hambanya dan suruh kita terjun dalam usaha dakwah. Sekali-kali Allah tidak akan biarkan kita jatuh dan mendapat kesusahan. Pasti Allah akan menyambut dan memeluk kita dengan rahmat-Nya."


WaAllahu a'lam.

Wednesday, December 29, 2010

Program Ziarah Dan Dakwah al-Habib Umar Di Malaysia 2011..


~klik pada poster iklan~

al-Habib Umar pernah berkata dalam rawhah:

"Berapa ramai yang "ghaib" dekat, dan berapa ramai yang 'hadir' jauh.."

ikhwah akhawat.. hadirlahlah beramai-ramai..

~jangan sampai kita terlepaskan peluang jilsah bersama Ulama' keturunan Rasulullahصلى الله عليه والسلم

Ya Allah..
'Hadir'kan kami walau jasad kami jauh beribu batu,
Kami yakin,
Jarak tidak memisahkan hati orang mukmin..

Ya Allah,
Jangan Engkau haramkan kami untuk menghadirinya,
Kerana dosa yang ada pada diri kami...

Ya Allah..
Hati-hati kami ini sangat merindukan majlis2 seperti ini,
Engkau saja pengubat rindu kami,
Hanyasanya kepada-Mu,
Kami serahkan hati kami....

Ya Allah..
kurniakanlah aku kesempurnaan dalam melaksanakan ajaran Nabi صلى الله عليه والسلم zahir mahupun bathin, dalam keadaan sihat dan selamat dengan Rahmat-Mu wahai yang Maha Pengasih...

Allahumma Amiin..

Monday, December 27, 2010

Kisah Cinta Yang Sebenarnya...



~Maqam Rasulullah saw, Masjid Nabawi, Madinah~

Baginda saw bersabda: "Barangsiapa pernah menziarahi kuburku, maka wajib baginya mendapat syafaatku.." HR Dar Qathni-Sohih.

p/s: baca dengan menghadirkan seluruh perasaan dan segenap jiwamu..

Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang di contohkan Allah swt melalui kehidupan Rasul-Nya saw.

Pagi itu... Rasulullah swt dengan suara yang terbatas menyampaikan khutbah,

"Wahai ummatku, kita semua dalam kekuasaan Allah swt dan cinta kasih-Nya, maka taati dan bertaqwalah kepada-Nya.."

"Kuwariskan dua perkara pada kalian, al-Quran dan Sunnahku.."

"Barangsiapa yang mencintai sunnahku, bererti mencintaiku dan kelak orang-orang yang mencintaiku akan masuk syurga bersama-samaku.."

Khutbah singkat itu di akhiri dengan pandangan mata Rasulullah saw yang tenang dan penuh minat menatap wajah sahabat-sahabatnya seorang demi seorang.

Abu Bakar as-Siddiq r.a menatap mata insan yang paling mulia itu dengan mata berkaca-kaca..
Umar al-Faruq r.a dadanya naik turun menahan nafas dan menahan tangisnya..
Usman bin 'Affan r.a menghela nafas panjang..
Ali bin Abi Talib r.a menundukkan kepalanya sedalam-dalam..

اللهم صلى وسلم على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وسلّم

Isyarat itu telah datang, saatnya telah tiba...

"Rasulullah saw akan meninggalkan kita semua.." keluh hati semua sahabat r.a kala itu. Manusia tercinta itu hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia yang fana' ini.

Tanda-tanda itu semakin dekat..

Ali r.a dan Fadhal r.a dengan pantas menangkap Rasulullah saw yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Di saat itu, kalau mampu, seluruh sahabat r.a yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.

Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah saw masih lagi tertutup. Sedangkan di dalamnya, tubuh Rasulullah saw yang lemah sedang terbaring, dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidur jasadnya yang mulia.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam..

"Assalamualaikum, bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tapi Fatimah r.a tidak mengizinkannya masuk. "Maaflah, ayahku sedang demam.." kata Fatimah r.a yang membalikkan badan dan menutup pintu. Kemudian dia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya kepada Fatimah r.a, "Siapakah itu wahai anakku?" "Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali aku melihatnya." tutur Fatimah r.a lembut.

Lalu Rasulullah saw menatap wajah puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang. .

"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia.. Dialah Malakul Maut.." kata Rasulullah saw. Fatimah lantas menahan ledakan tangisnya.

Lalu mengizinkan tetamu tersebut masuk, Malakul Maut datang menghampirinya tapi Rasulullah saw menanyakan kenapa Jibril a.s tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggillah Jibril a.s yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah swt dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hak aku di hadapan Allah?" tanya Rasulullah saw dengan suara yang amat lemah.

"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu, semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril a.s. Tapi hal itu ternyata tidak membuat Rasulullah saw lega, mata penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" tanya Jibril a.s lagi.

"Khabarkan kepadaku bagaimana keadaan ummatku kelak?" soal Rasulullah saw.

"Jangan khuatir wahai Rasulullah , aku pernah mendengar Allah swt berfirman kepadaku, "Kuharamkan syurga bagi siapa sahaja kecuali ummat Muhammad saw telah berada di dalamnya." kata Jibril a.s.


اللهم صلى وسلم على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وسلّم


Detik-detik itu semakin dekat, saatnya Izrail a.s melakukan tugasnya..

Perlahan-lahan ruh mulia Rasulullah saw ditarik, nampak seluruh tubuh Rasulullah berkeringat, bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. Allaaah...

"Aaaahh..wahai Jibril, betapa sakitnya sakaratul maut ini..." perlahan suara Rasulullah saw mengadu.

Mata Fatimah r.a terpejam, Ali r.a yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril a.s memalingkan mukanya.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu wahai Jibril a.s.?" Tanya Rasulullah saw pada malaikat penyampai wahyu itu.

"Siapakah sanggup melihat kekasih Allah swt direnggut ajal.." kata Jibril a.s

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah saw memekik kerana sakit yang tidak tertahannya lagi. "Ya Allah, dahsyat sungguh maut ini.. timpakan saja semua siksa maut ummatku kepadaku.. jangan pada ummatku wahai Allah."

Badan Rasulullah saw mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu. Ali r.a segera mendekatkan telinganya.

"Allaah..Allaah..Uushikum bis solah wa ma malakat aimanukum, /aku berpesan pada kalian peliharalah solat dan peliharalah orang-orang yang lemah di antaramu.."

Di luar pintu rumah baginda saw, mulai terdengar suara tangisan teresak-esak bersahutan, para sahabat r.a saling berpelukan sambil menangis antara satu dengan yang lain menempuhi detik-detik yang amat menyedihkan itu.

Fatimah r.a menutup tangan di wajahnya dan Ali r.a kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah saw yang yang mulai kebiruan. Kedengaran kata-kata kerinduan diungkap dari bibir yang mulia...

"Ummatiii...Ummatiii...Ummatiii.." /ummatku..ummatku..ummatku...

Baginda saw semakin nazak..

Cahaya memancar pada wajahnya..

Cahaya itu juga meliputi keluarganya..

Roh Baginda saw pun sampai ke halqumnya..

Baginda saw membuka kedua belah matanya..

Baginda saw menunjukkan syarat dengan jari telunjuk tanda ketauhidan kepada Tuhannya..

Baginda menghirup nafas terakhirnya di dunia ini, lalu menyerahkan rohnya kepada Tuhannya..

ان لله وان اليه راجعون

maka berakhirlah riwayat hidup manusia yang memberi sinaran iman itu...


~اللهم صلى وسلم على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وسلّم~

Sejahteralah jasad Baginda saw setelah melalui hari-harinya yang memenatkan serta meletihkan disebabkan kita..

Sejahteralah jasad Baginda saw dapat berehat setelah perutnya yang diikat dengan batu kerana kelaparan disebabkan kita..

Sejahteralah jasad yang pernah dilemparkan dengan batu sehingga luka disebabkan kita ..

Sejahteralah jasad yang pernah dipatahkan gerahamnya disebabkan kita..

Sejahteralah jasad yang pernah dilukakan dahinya hingga mengalir darah lalu Baginda saw menahannya dengan tangannya untuk menjaga darah yang bersih itu dari terjatuh ke tanah sebagai rahmat bagi mereka dan kita dari kemurkaan Allah swt..

Sejahteralah jasad yang pernah dimasuki sesuatu ke dalam daging pipinya di sebabkan kita..

Sejahteralah jasad yang mana kakinya bengkak disebabkan pengabdiannya pada Allah swt serta dakwah untuk kita..

Sejahteralah jasad yang memikul kesukaran, keletihan, kesakitan, keperitan, kepenatan dan kelaparan semuanya di sebabkan kerana kita...

Lihatlah, betapa cintanya Rasulullah saw kepada kita...

Ya Rasulullaaaaah... syafa'atilah kami ummatmu ini yang banyak dosa..

"Ya Allah, wahai Tuhan Junjungan Muhammad saw dan ahli keluarga Baginda, Pertemukanlah daku dengan Junjungan Nabi Muhammd pada masa yang dekat (iaitu di
dunia lagi sebelum di akhirat nanti), wahai Tuhan yang Maha Menerima Permohonan.

Ya Allah, bahawasanya Bagindalah pintu-Mu yang agung, jalan-Mu yang teguh,
tiada jalan melainkan melalui pintu dan tiada kemasukan (pada Rahmat-Mu)
melainkan dengan perantaraan Baginda.

Wahai Tuhan yang Maha Pengurnia, Masukkanlah aku ke dalam Rahmat-Mu
daripada pintu ini dan muliakanlah aku dengan disingkapkan segala hijab.

Ya Allah, Jangan Kau Halangkan aku daripada melihat Baginda saw, daripada memandang wajah Baginda saw, daripada menerima keberkatan Baginda saw, daripada mengharapkan penjagaan Baginda saw dan daripada penjagaan Baginda saw. Jadikanlah aku Ya Allah, sentiasa berada di bawah pemerhatian Baginda saw dan jadikanlah aku dekat dengan Baginda saw, wahai Tuhan yang Maha Menerima Permohonan."
~ Doa nan indah al-Imam al-Habib Abdul Qadir as-Saqqaf.

Amiin Ya Allah.. Ya Rabb.. Ya Rahman.. Ya Rahim.. Ya Qarib.. Ya Mujiib..
Ya Hayyu.. Ya Qayyum.. Ya Zal Jalali wal Ikram wa bi jaahi
Sayyidina Muhammadinil Habibil Mahbub saw..

Semoga Baginda saw mencintai dan merinduiku dan kalian..

Zikir dan Tabligh Akbar..


Assalamualaikum wbt, Wahai seluruh Pencinta Rasulullah saw !! Jangan lupa tonton Live Streaming Majlis Rasulullah saw brsama guru mulia al-Habib Umar bin Hafizd al-Yamani dari Lapangan Monas, Indonesia hari/malam ini Isnin, 27 Disember 2010..

~ 10 mlm (waktu Malaysia)
~ 9 mlm (Jakarta, Indnsia)
~ 5 ptg (Khartoum, Sudan)
~ 4 ptg (Cairo, Mesir)

di > http://www.majelisrasulullah.org/ tolong sebarkan!!

*insyaALLAH al-Habib akan ke Malaysia Januari ini...
اللهم صلى وسلم على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وسلّم

Friday, December 17, 2010

Cinta Hakiki...

Cinta Yang Agung.. Cinta Ilahi..

Allah swt hanya mengkhususkan sifat cinta yang agung
iaitu hanya cinta kepada Allah swt..

Maka jangan salahkan orang-orang yang cinta
kepada Allah swt jika ingin segera wafat..

Jangan pula salahkan orang-orang yang cinta
kepada Rasulullah saw yang juga ingin segera wafat..

Dan jangan salahkan orang-orang yang cinta
kepada Allah dan Rasul-Nya jika meminta panjang umur
kerana ingin hidup lebih lama lagi dalam keadaan cinta
kepada Allah swt dan Rasul-Nya..

Tidak usah mencari jalan keluar di luar dari dirimu,
kerana jalan keluar dari setiap permasalahan
ada dalam dirimu sendiri..

Ada dalam hubunganmu yang murni dengan Allah..

Daripada engkau bersusah payah,

Merubah apa yang ada terlihat diluar dirimu..
Lebih baik...
Jauh lebih dekat...
Gerakkan apa yang ada di dalam dirimu sendiri..
Cubalah kembali kepada Allah swt bagi meraih cinta-Nya..

Saling menyintai kerana-Nya dan untuk-Nya,

walaupun belum pernah bertemu dengan-Nya..

Adalah sebuah percintaan yang sungguh agung dan luar biasa...

Semoga kekal abadi percintaan mereka sehingga mereka bersama kelak
dan bertemu dengan-Nya yang amat menyintai mereka..

dalam saling cinta-menyintai...

Rasulullah saw pernah bersabda: “akan merasakan manisnya iman jika Allah swt dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada selain keduanya dan mencintai seseorang hanya kerana Allah..”

Kembalilah kepada-Nya..

itu adalah jalan yang terdekatmu menuju kebahagiaan dan ketenangan abadi..

Tidak ada jalan yang lainnya...

Ayuh,

Kita lari kepada Allah swt..

Lari sebab cinta kepada-Nya..

kita larinya menuju Mahabbatullah..

kerana hanya dengan lari menuju-Nyalah,

kita jadi selamat dari segala murka-Nya..

Seseorang jika takut terhadap sesuatu akan lari menjauhinya..

tapi kalau takut kepada Allah..

kita lari jangan menjauhi-Nya,

tetapi kita lari mendekati kepada-Nya..

Kerana ketika kita lari menjauhi-Nya,
kita akan semakin merasa ketakutan disana..

Hanya dengan lari mendekatkan dirimu kepada-Nyalah,

ketakutan kita akan menjadi hilang dari dalam hati kita..

Justeru akan menghasilkan satu perasaan iaitu cinta dan rindu untuk berdamping dengan-Nya..

Merasai kelembutan belaian kasih sayang Ilahi…

Ianya.. Cinta Ilahi..

Thursday, December 9, 2010

Doa Akhir Tahun & Awal Tahun. Haramkah Membacanya?


Oleh : Ustaz Syed Abdul Kadir al-Joofre

Terbaca di beberapa blog dan forum baru-baru ini, memandangkan hampirnya kita memasuki tahun baru Hijrah, berkumandang sekali lagi seruan bahawa bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun merupakan satu bid’ah yang jelas haram di sisi Islam. Benarkan apa yang dihebohkan ini? Kalau benar mengapa saban tahun setiap jabatan agama negeri tidak pernah menghalang sambutan ini? Adakah tok mufti dan semua ustaz yang berada di setiap jabatan agama ni bersekongkol dalam kesesatan? Sama-sama kita kaji..

Biasanya apabila kita tidak mengetahui asas bagi satu masalah, maka kita akan mudah membuat keputusan yang salah. Asas dan sebab bagi satu masalah merupakan kunci bagi kita untuk mendapatkan jawapan bagi masalah tersebut. Di sini kita perlu mengkaji dua masalah. Mengapa dibaca doa akhir dan awal tahun. Seterusnya mengapa pula satu golongan lagi cuba untuk mengharamkan perbuatan ini.

Asas pendapat pertama kita lihat dari sudut amalan para ulamak berkurun lamanya bukan sahaja di nusantara malahan di banyak lagi tempat di dunia, yang mengamalkan berdoa di akhir dan awal tahun. Apakah asas mereka? Jawapannya yang ringkas, bukankah kita semua mengetahui bahawa beredarnya bulan dan tahun ini merupakan tanda kekuasaan Allah? Maka tidak layakkah kita sebagai hamba yang lemah memuji Allah apabila kita memerhatikan kebesaranNya? Seterusnya, bukankah molek kalau kita akhiri akhir tahun kita dengan memohon ampun atas kesalahan kita sepanjang tahun lalu, dan seterusnya memulakan awal tahun baru, dengan berdoa kepada Allah agar tahun yang mendatang dipenuhi rahmah dan maghfirahNya? Doa itu senjata mukmin. Maka gunakanlah senjata ada sebaik mungkin.

Asas pendapat kedua. Bid’ah dholalah (atau kata mereka bid’ah secara mutlak) adalah mengadakan sesuatu yg baru yang tiada asasnya langsung dalam agama. Itu kata kita. Ada di kalangan mereka yang menyalah erti bahawa bid’ah adalah sesuatu urusan agama yang tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Namun sangkaan ini amat tersasar dari kebenaran berdasarkan terlalu banyak dalil menunjukkan keharusan perkara dalam agama yang tidak dilakukan oleh Rasulullah seperti menghimpunkan Al-Quran dan azan solat jumaat sebanyak dua kali yang dilakukan oleh Saiyidina Usman. Maka diistilahkan pula oleh Imam Syafie dan para mujtahidin yang lain perkara ini sebagai bid’ah hasanah. Malah diklasifikasikan pula oleh Imam Nawawi bid’ah kepada 5 hukum taklifi yang ada. Mereka kata klasifikasi ini klasifikasi dari sudut bahasa, namun jika kita kaji bid’ah dari segi bahasa bukanlah yang dimaksudkan oleh Imam Syafie dan yg lain, tetapi bid’ah dalam agama.

Apapun yang diistilahkan kita sepakat mengatakan bahawa perkara yang dibaharukan yang tiada asasnya langsung dalam agama hukumnya haram dan bid’ah yang dholalah. Nah, sekarang mereka membuat pula satu kaedah. Jika satu ibadat itu dilakukan pada satu waktu tertentu atau hari tertentu atau bilangan tertentu tanpa ada hadis yang warid dari Rasulullah s.a.w. maka ianya dikira sebagai bid’ah (baca bid’ah dholalah) dan haram. 2 asas inilah yang dipegang menjadikan bacaan doa akhir dan awal tahun sebagai haram.

Maka apa pula komentar bagi kedua-dua hujjah kedua-dua golongan ini ya?

Perbincangan bagi hujjah pendapat yang pertama. Dikatakan bahawa memuji Allah apabila memerhatikan kebesaran-Nya. Benar. Namun cara kita menunjukkan pujian dan bersyukur itu perlukan petunjuk dari Allah dan Rasul-Nya s.a.w. Bukannya mengikut fikiran kita semata-mata. Adakah berdoa tersebut cukup untuk menghapuskan segala dosa yang berlaku di sepanjang tahun. Kalau begitu mudahla, Buat dosa banyak-banyak. Akhir tahun doa jelah. Lagipun kalau doa ni pun da bid’ah dan berdosa, sebenarnya bukan hapuskan dosa tapi tambahkan dosa lagi.

Jawapan kepada perbincangan ini. Cara kita menunjukkan pujian dan bersyukur adalah diharuskan selagi mana tidak melanggar syara’. Sebanyak mana pun kita bersyukur takkan cukup dengan nikmat yang Allah beri. Lagipun kita bukan bersyukur mengikut fikiran kita semata-mata, tetapi berdasarkan kepada petunjuk Allah dan Rasul-Nya jugak kan. Bukankah berdoa ini satu cara yang ditunjukkan dan diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Bukannya kita sambut dgn konsert atau pertunjukkan bunga api.

Berkenaan doa boleh menghapuskan dosa atau tidak tersebut, urusan tersebut diserahkan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang memerintah kita supaya berdoa dan Dialah yang memakbulkan doa dan mengampunkan dosa. Ini merupakan usaha kita yg diperintah oleh-Nya. Hujjah buat dosa banyak2 kemudian berdoa adalah hujah yang dangkal, kerana tiada siapa yang mengetahui selama mana hayatnya. Juga ia seolah-olah mempermain-mainkan mereka yang berdoa setiap hari agar diampunkan oleh Allah. Mengapa tidak tunggu tua sahaja baru berdoa. waktu muda buat dosalah banyak2. Hujah yang amat cetek dan tidak perlu dihiraukan, tetapi perlu dijawab kerana banyak antara mereka yang cetek ilmu, tapi mengaku berilmu. Semua kita sepakat bahawa melakukan perkara yang dilarang oleh syarak secara pasti dan mesti adalah haram. Jadi mengapa perlu dipersoalkan perkara begini. Tetapi kita sebagai manusia yang tidak maksum pasti tidak akan lari dari kesalahan. Jadi kita perlu dari masa ke semasa meminta pengampunan dari Allah s.w.t. Niat melakukan dosa dengan harapan berdoa di waktu lain agar diampunkan adalah niat yang jelas salah dan terlarang.

Perbincangan hujjah pendapat yang kedua pula.

Perbincangan hujjah pendapat yang kedua. Apakah asas-asas yang diiktiraf dalam menentukan hukum dan adakah doa ini tiada asasnya langsung dalam agama? Para ulamak telah berselisih dalam perkara ini, namun mereka sepakat menentukan bahawa Al-Quran, Assunnah, Ijma’ dan Qias secara umumnya adalah asas dalam menentukan hukum. (kecuali beberapa ulamak zahiri dan syiah yang menolak terus qias). Mereka pula hanya menganggap Al-Quran dan Assunnah dan ijtihad para mujtahidin berdasarkan dua sumber ini merupakan asas. Walaubagaimanapun kedua-dua masalah ini tidakla jauh bezanya jika difahami dengan betul. Jadi persoalan sekarang adakah di sana asas bagi doa ini dibaca?

Secara ringkasnya asas bagi berdoa secara umumnya adalah ayat-ayat Alquran dan Assunnah yang terlalu banyak menerangkan perintah berdoa tak kira masa dan tempat. Perintah2 ini tidak boleh kita khususkan kepada doa yang warid dalam alquran dan sunnah semata-mata, kerana ia dikira sebagai mengkhususkan sesuatu yg umum tanpa pengkhususnya. Selain itu warid dari Hadis2 dan asar para solihin keharusan berdoa selain dari yg warid mengikut keperluan kita asalkan tidak bercanggah dengan syarak.

Asas seterusnya dalam berdoa ini adalah berdasarkan maslahah (yang juga sumber perundangan hukum islam). Maslahah yang rajihah (yang boleh diguna pakai) dalam perkara ini ditentukan oleh para ulamak terdahulu bukan menurut pemikiran kita semata. Maslahah ini lebih jelas di zaman kita yang mana ramai di kalangan masyarakat kita sudah jauh dari ajaran Islam dan tidak reti berdoa lagi. Malah di tahun baru ini pun mereka tanpa segan silu membuat kemaksiatan. Bukankah molek jika kita menyeru mereka berdoa di waktu begini?

Jadi apabila ada asas-asas yang disebutkan maka kita tidak boleh menyebut amalan berdoa ini sebagai satu perkara bid’ah yang sesat. Malah boleh kita masukkannya di dalam bid’ah hasanah yang disebutkan oleh Imam Syafie.

Mereka juga menyatakan bahawa sesutu ibadat seperti zikir dan doa itu perlu menyamai Rasulullah dari sudut bilangan, masa, hari dan tempat. Sesuatu yang bercanggah dengan salah satu darinya adalah haram. Kita pula menjawab, di manakah dalil kepada penyataan ini? Ulamak terdahulu tidak pernah membuat kaedah sebegini. kaedah yang ada adalah, ibadat tidak menyalahi dari apa yang Rasulullah tunjukkan. Jangan Rasulullah bersolat subuh 2 rakaat kita bersolat 3 rakaat, kerana nak pahala lebih. Itu yang salah. Adapun berdoa dan berzikir di waktu yang tidak warid Rasulullah berzikir pada waktu tersebut adalah tidak diharamkan. Kerana Rasulullah sendiri sentiasa berzikir dan berdoa. Selain itu perintah berzikir berdoa tidak pernah mengkhususkan masa dan tempat. Tiada salahnya jika kita hanya mengaji Al-Quran selepas maghrib setiap hari dan memerintahkan pula anak-anak kita berbuat sedemikian, walaupun tidak warid dalam hadis Rasulullah ada mengkhusukan begitu. Itu kita sepakat bukan. Jadi mengapa kita mengkhususkan pula sebelum maghrib akhir zulhijjah untuk berdoa dikira sebagai sesuatu perbuatan yang haram?

Hujjah mereka seterusnya adalah kebaikan sesuatu perkara adalah berdasarkan al-Quran dan As-sunnah. Maka kita katakan bahawa kebaikan berdoa ini juga adalah berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah yang menyuruh kita berdoa tanpa mengira waktu dan tidak pernah pula melarang kita berdoa di waktu2 tertentu. Maka kita simpulkan bahawa berdoa awal dan akhir tahun ini merupakan perkara yang baik menurut syara’. Bid’ah mustahabbah kata Imam Nawawi.

Kesimpulan:

Doa di awal dan akhir tahun merupakan sesuatu perkara yang baik dan harus dilakukan oleh setiap lapisan masyarakat, namun ia bukanlah perkara yang wajib. Anda hendak berdoa, berdoalah di setiap waktu dan ketika. Setiap waktu dan ketika itu termasuk juga padanya doa di awal dan akhir tahun. Berdoalah semoga dosa kita di tahun yg lalu diampunkan dan amalan kita diterima. Jua berdoalah moga di tahun baru ini kita dibantu melawan syaitan, nafsu yang menyeru kejahatan serta dibantu melakukan amal ibadat sebanyak mungkin.

Wallahu A’lam

Wasallallahu ‘Ala Saiyidina Muhammad Wa’ala Alihi Wasohbihi Ajma’in, Walhamdulillahi Rabbil ‘Alamin

Tuesday, November 9, 2010

Penting!! Perasaan Ummat: Seruan Syeikh Maulana Yusuf ra. Kepada Seluruh Ummat Islam..


Seruan al-'Allamah ad-Da'iyah al-Muhaddith asy-Syeikh Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi kepada orang-orang Islam. Dipetik daripada "Perasaan Ummat: Seruan Hadratji Syeikh Maulana Muhammad Yusof rah.a. Kepada Seluruh Ummat Islam" (Kota Bharu, Kelantan: MN Mayun Enterprise, 2002).

[Tiga hari sebelum Syeikh meninggal dunia, iaitu pada 29 hb Zulqaedah, 1384H bersamaan 2hb April, 1965M; hari Selasa selepas Solat Subuh; Syeikh telah memberi satu ceramah terpenting yang terakhir dalam kehidupan beliau. Selepas Hamd (memanjat pujian kepada Allah) dan selawat, berlawanan dengan kebiasaan, Syeikh telah mulai berceramah seperti berikut:]


Lihatlah, saya tidak seberapa sihat. Sepanjang malam saya terpaksa berjaga kerana tidak boleh tidur. Namun demikian saya terpaksa berkata sebab perkara ini adalah amat penting. Siapa pun yang memahaminya dan mengamalkannya maka Allah Taala akan meninggikannya dan memberikan kejayaan. Jika tidak, maka dia akan melumpuhkan kakinya sendiri.

Ummat ini telah terbentuk dengan penuh susah payah. Untuk menjadikan ummat ini, Rasulullah saw. dan Sahabat-Sahabat r.anhum telah banyak berusaha dan menanggung penderitaan.

Musuh-musuh Islam yakni Yahudi dan Nasrani telah sentiasa berusaha supaya orang-orang Islam tidak ada sebagai satu ummat, bahkan berpecah belah.

Hari ini orang-orang Islam sudah kehilangan sifat ummat. Ketika dahulu, semasa mereka hidup sebagai satu ummat, hanya dengan bilangan mereka beratus ribu orang sudah cukup untuk menguasai satu dunia. Mereka pada masa itu tidak mempunyai sesuatu. walaupun sebuah rumah dari batu bata. Masjid pun tidak dibina dengan batu bata. Lampu pun tidak dinyalakan di dalam masjid. Lampu telah dinyalakan di dalam Masjid Nabawi hanya selepas sembilan tahun sesudah Hijrah.

Sementara itu, kira-kira seluruh kaum Arab telah memeluk agama Islam. Manusia dari pelbagai kaum, yang bercakap dalam berbagai-bagai bahasa, dan dari berbagai-bagai kabilah telah menjadi satu ummat yang bersatu-padu. Apabila kesemua perkara telah diselesaikan, maka barulah lampu telah dinyalakan di dalam Masjid Nabawi. Tetapi cahaya dari lampu hidayat telah dibawa oleh Baginda Rasulullah saw. sudah tersebar ke seluruh tanah Arab, bahkan ke kawasan-kawasan di luar daripadanya juga. Ummat sudah terbentuk. Selepas itu ummat telah bangun dan ke mana saja mereka tuju, maka negara demi negara telah jatuh di bawah kaki mereka.


Ummat ini telah dibentuk secara begini; iaitu, tidak seorang pun di kalangan ummat ini menjadi pembantu kepada keluarganya, bangsanya, saudara-maranya, partainya, kaumnya, tanahnya; tidak seorang pun yang menjadikan tujuannya mengawasi harta-benda atau anak-isteri; tetapi setiap seorang di kalangan mereka hanya melihat apakah kehendak Allah dan Rasul-Nya. Pada zaman orang-orang Islam hidup sebagai satu ummat, di mana-mana pun jika seorang Islam dibunuh, maka seluruh ummat telah terkesan, bersimpati dan merasai kepedihan. Kini beribu-ribu dan berjuta-juta orang Islam telah disembelih tetapi kita tidak merasai apa-apa jua.

Ummat bukanlah nama satu kaum atau satu golongan manusia yang bermukim di satu kawasan. Tetapi beratus-ratus bahkan beribu-beribu kaum yang tinggal di kawasan yang berlainan bersatu-padu menjadi satu ummat. Sesiapa yang menganggap bahawa dia berasal daripada sesuatu kaum atau sesuatu daerah, dan orang lain berasal daripada sesuatu kaum atau sesuatu daerah yang lain, maka dia seolah-olah telah menyembelih ummat ini, menghancur-leburkan serta merosakkan hasil usaha baginda Rasulullah saw. dan Para Sahabat r.anhum. Apabila terpisah-pisah dan berpecah-belah, kita sendiri telah menyembelih ummat ini terlebih dahulu. Yahudi dan Nasrani hanya mengerat ummat ini yang sudah tersembelih. Sekiranya orang-orang Islam, hari ini menjadi ummat seperti sedia kala, maka semua kekuatan di seluruh dunia sekalipun, tidak boleh menggerakkan walaupun sehelai bulu roma ummat ini. Bom atom atau pun roket sekalipun, tidak boleh membinasakan mereka. Tetapi sekiranya mereka dengan semangat perkauman dan kedaerahan meneruskan fahaman menghabcur-leburkan ummat, maka demi Allah, senjata-senjata dan tentera-tentera kamu tidak boleh selamatkan kamu dari kemusnahan.


Hari ini orang-orang Islam di seluruh dunia telah dihimpit dan dibunuh dengan sebab kehilangan perasaan ummat. Mereka telah menyia-nyiakan pengorbanan Baginda Rasulullah saw. Saya berkata tentang perkara ini dengan kepiluan di dalam hati saya, bahawa satu-satunya sebab semua kebinasaan dan kemunduran ini adalah kerana ummat tidak lagi ada sebagai satu ummat yang bersatu-padu; bahkan mereka telah lupa apa itu UMMAT dan bagaimanakah baginda Rasulullah saw. Telah membina ummat ini!

"Untuk menjadi umat yang sebenar-benarnya dan supaya bantuan Allah bersama dengan orang-orang Islam, tidak cukup dengan hanya di kalangan mereka menghidupkan solat, zikir, madrasah dan kebiasaan mengajar dan belajar ilmu. Ibnu Muljam yang merupakan pembunuh Saidina Ali r.a. adalah seorang yang banyak bersolat dan berzikir. Sehingga apabila orang-orang yang marah (atas pembunuhan Saidina Ali r.a.) sebelum membunuhnya coba memotong lidahnya, maka dia telah berkata, “Buatlah apa yang kamu mau, tetapi janganlah memotong lidah saya; dengannya saya boleh berzikir kepada Allah hingga ke akhir nafas saya dalam kehidupan ini.” Namun begitu Baginda Rasulullah saw. telah bersabda, “Pembunuh Ali adalah seorang yang paling buruk dan bernasib malang di kalangan ummatku."

Ta’lim dari madrasah telah didapati oleh Abul Fadhal dan Faizi juga. Ilmu dan kepandaian mereka begitu tinggi sehingga boleh menulis tafsir al-Quran walaupun dengan huruf yang tidak bertitik. Walhal merekalah yang telah menyesatkan Akbar [Maharaja India dari keluarga Mughal] dan merosakkan agama Islam. Jadi, bagaimanakah perkara yang ada pada Ibnu Muljam, Abul Fadhal dan Faizi boleh mencukupi untuk menjadi ummat yang sebenar dan mendapat nusrah ghaibiah dari Allah Taala.


Hadrat Syah Ismail Syahid rah.a., Hadrat Syed Ahmad Syahid rah.a., dan rakan-rakan mereka kesemua adalah satu jamaah yang unggul dan paling baik dari segi keagamaan mereka. Apabila mereka sampai ke kawasan perbatasan [iaitu utara-barat Pakistan yang diduduki oleh kaum Pathan], orang-orang di sana telah menjadikan mereka pembesar-pembesar mereka. Maka syaitan telah menimbulkan di dalam hati beberapa orang Islam di sana bahawa, “Mereka ini orang-orang luar, mengapakah mereka diberi kesempatan untuk mengetuai kami?” Maka mereka telah mengawali menentang orang-orang Islam yang teguh mengamalkan agama ini. Beginilah caranya orang-orang Islam menghancurkan perasan ummat oleh sebab kedaerahan mereka. Maka Allah Taala telah memberikan pembalasan dan penyeksaan dengan memberi kuasa kepada orang-orang Inggeris ke atas mereka. Ini merupakan azab daripada Allah Taala.

Ingatlah! Bahwa perkataan, kaumku, daerahku, saudaraku dan yang seumpamanya, semuanya adalah perkataan yang memecah-belahkan ummat!

Perkataan dan semangat sebegitu rupa adalah sangat-sangat dibenci oleh Allah Taala sehingga sedikit kesilapan dari segi ini oleh seorang Sahabat yang begitu tinggi darjatnya seperti Saad ibnu Ubadah r.a. [yang jika tidak diberhentikan dengan serta-merta pada masa itu juga, maka akan wujud perpecahan antara Ansar dan Muhajir] telah dibalas oleh Allah Taala di dunia.

Terdapat riwayat bahawa Saad ibnu Ubadah r.a. telah dibunuh makhluk jin dan di Madinah telah kedengaran pengumuman seperti berikut, tetapi tidak kelihatan makhluk yang mengumumkannya:

[Kami telah membunuh ketua kaum Khazraj: Saad ibnu Ubadah; Kami telah menjadikannya sasaran anak panah kami yang telah memasuki jantungnya!]

Daripada peristiwa ini didapati suatu contoh dan pengajaran bahawa walaupun seseorang itu mempunyai serba-serbi kebaikan, tetapi jika ia melakukan kesalahan dengan menyebabkan perpecahan ummat, maka Allah Taala tetap akan menghancurkannya.


Ummat akan menjadi ummat yang benar apabila setiap individu dan golongan di kalangan ummat ini tanpa membeza-bezakan, memegang usaha yang ditinggalkan oleh baginda Rasulullah saw.

Dan ingatlah bahawa perkara yang memusnahkan perasaan ummat adalah keburukan dari segi muamalat dan muasyarat. Apabila satu individu atau satu golongan di kalangan ummat ini menzalimi dan tidak berbuat adil dengan yang lain, tidak menunaikan hak-haknya, menyakitinya, memperkecilkannya atau menghinanya maka timbullah perpecahan dan perasaan ummat akan hancur. Sebab inilah saya berkata bahawa ummat ini tidak dapat dibentuk dengan hanya kalimah dan tasbih.

Ummat akan menjadi ummat yang sebenar melalui pengislahan muamalat dan mu'asyarat, melalui menunaikan hak-hak semua pihak dan melalui bersifat ikram terhadap sekalian orang. Bahkan apabila untuk menunaikan hak-hak orang lain, hak-hak sendiri dikorbankan, barulah ummat ini akan dapat dibentuk.
Baginda Rasulullah saw, Hadrat Abu Bakar As-Siddiq r.a dan Hadrat Umar r.a. telah membentuk ummat ini dengan cara mengorbankan kesemua kepunyaan mereka dan menanggung bermacam-macam kesusahan."

Pada zaman Saidina Umar r.a. suatu ketika telah datang berjuta-juta dinar dan dirham dan mesyuarat telah diadakan untuk membahagi-bahagikannya. Pada masa itu ummat sudah dibentuk; yang bermesyuarat itu bukanlah daripada suatu daerah atau satu kaum atau kabilah saja. Bahkan manusia daripada pelbagai kaum, kabilah dan daerah berada dalam syura tersebut yang terkenal sebagai orang-orang khawas dari segi persahabatan dengan Baginda Rasulullah saw. Melalui mesyuarat, mereka denga sepenuh perhatian telah membuat keputusan bahawa dalam pembahagian tersebut, yang paling banyak akan diberi ialah kepada kabilah baginda Rasulullah saw. Kemudian kepada ahli kabilah Saidina Abu Bakar r.a. dan selepas itu kabilah Saidina Umar r.a. Maka dengan keputusan ini, saudara mara Saidina Umar r.a. telah mendapat kedudukan yang ketiga. Apabila keputusan ini telah dikemukakan kepada Saidina Umar r.a., beliau tidak meluluskan keputusan tersebut lalu berkata, Apa juga yang diperolehi dan akan diperolehi oleh ummat ini adalah kerana baginda Rasulullah saw. semata-mata. Jadi, dalam pembagian harta ini, kita akan hanya mempertimbangkan perkaitan hubungan dengan baginda Rasulullah saw sahaja. Kabilah yang paling dekat dengan baginda akan mendapat bahagian yang paling besar. Kemudian yang kedua, yang ketiga, yang keempat dan seterusnya. Jadi, bahagian yang terbanyak telah diberikan kepada Bani Hasyim. Kemudian Bani Abd Manaf, anak-anak Qasa, Kalab, Marra dan seterusnya. Mengikut tertib ini, kabilah Hadrat Umar r.a. sangat jauh terkebelakang dan bahagian yang diperolehi oleh mereka adalah terlalu sedikit. Tetapi Hadrat Umar r.a. tetap membuat keputusan ini. Beliau sendiri telah membelakangkan kabilahnya sendiri dengan pembahagian ini. Dengan cara beginilah ummat ini telah dibentuk!


Untuk membentuk umat, apa yang mustahak ialah semua orang perlu mencuba supaya kesatuan hadir di kalangan ummat dan supaya tidak timbul perpecahan. Maksud sebuah hadith Baginda Rasulullah saw , “Pada hari kiamat salah seorang akan dibawa kepada Allah Taala untuk pembalasan. Semasa hidup di dunia, orang itu telah mendirikan solat, membayar zakat, berpuasa, mengerjakan haji, bertabligh dan lain-lain amalan yang baik. Tetapi dia akan diberi penyiksaan. Sebab, satu perkataan yang telah diucapkannya menyebabkan peprpecahan di kalangan ummat. Ia akan dihukum, “Rasakanlah penyiksaan untuk satu perkataan itu yang telah mendatangkan kerugian kepada ummat.” Seorang lagi yang dihadapkan mempunyai mempunyai kekurangan dari segi solat, zakat, puasa, haji dan lain-lainnya dan dia dalam ketakutan akan azab Allah Taala, tetapi dia telah diberikan banyak pahala dan balasan baik sehingga dengan penuh keheranan dia sendiri akan bertanya, Untuk amalan saya yang mana satu, saya dimuliakan begini? Dia akan diberitahu, Pada masa dan keadaan sekian-sekian itu engkau telah mengucapkan satu perkataan yang telah menghentikan satu pergaduhan di kalangan ummat yang ditahap perpecahan. Pada ketika perpecahan itu, ummat telah kembali bersatu padu disebabkan perkataan kamu itu. Kesemua ini adalah pahala dan balasan untuk perkataan mu itu.

Di dalam membentuk ummat dan juga merosakkan ummat, peranan yang besar telah dimainkan oleh lidah.
-Lidah boleh menyenangkan hati orang, boleh juga ia menyakiti dan memecahkan hati. Cukup dengan satu perkataan salah yang keluar daripada lidah, maka menyebabkan penggunaan tongkat dan pergaduhan dan peperangan yang sempurna telah wujud. Demikian juga dengan satu perkataan sahaja boleh mendatangkan perdamaian dan perpaduan; ia boleh menyatukan hati-hati yang berpecah-belah. Oleh itu, perkara yang paling penting ialah lidah (percakapan) mesti dikawal supaya tidak disalahgunakan. Perkara ini hanya akan tercapai apabila seseorang itu sentiasa ada perasaan bahawa Allah ada bersama di setiap tempat dan juga Dia maha mendengar setiap perkataan yang diucapkan."


Di Madinah, pada zaman itu, ada dua kabilah Ansar, iaitu Aus dan Khazraj. Di antara keduanya telah terjadi pergaduhan dan peperangan sejak ratusan tahun. Apabila Rasulullah saw telah berhijrah dan sampai ke Madinah, orang-orang Ansar telah dikurniakan Allah dengan Islam. Maka dengan berkat Baginda dan Islam, pergaduhan dan peperangan itu telah terhenti dan Aus dan Khazraj telah hidup dengan aman dan damai. Melihat keadaan itu, orang-orang Yahudi telah membuat satu perancangan jahat supaya Aus dan Khazraj bergaduh dan berperang semula. Di dalam satu majlis yang dihadiri oleh orang-orang dari kedua kabilah tersebut, salah seorang (mengikut perancangan jahat tersebut) telah menyalakan api (menegangkan keadaan) dengan membaca satu syair mengenai peperangan mereka yang lama. Maka pada mulanya, mereka bertikam lidah antara satu sama lain dan akhirnya senjata telah dikeluarkan oleh kedua-dua pihak. Salah seorang telah segera mengadu kepada Baginda Rasulullah saw. Baginda saw. dengan serta merta datang ke tempat kejadian, lalu bersabda, Kamu hendak berperang sesama sendiri, sedangkan aku masih berada di kalangan kamu? baginda telah berkhutbah dengan ringkas tetapi penuh dengan semangat dan perasaan susah hati. Mereka telah memahami kesilapan masing-masing. Mereka telah sedar bahawa syaitan telah memerangkap mereka dengan perancangan jahat. Kedua-dua belah pihak telah menangis dan memeluk antara satu sama lain. Ayat suci telah diturunkan oleh Allah Taala:


[ يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله حق تقاته و لا تموتن إلا وأنتم مسلمون ]

(Seolah-olah Allah memaksudkan) Wahai orang-orang yang beriman! Takutilah Allah sepertimana yang harus kamu takuti kepada-Nya dan sampai ke nafas kamu yang terakhirlah kamu hidup sebagai hamba yang menyerah diri dan mentaati Allah.

Jadi, apabila manusia sentiasa ingat pada Allah, takut kepada kemurkaan-Nya dan sentiasa mentaati-Nya, maka syaitan pun tidak ada kesempatan untuk menyesatkannya dan ummat akan terselamat dari semua pergaduhan dan keburukan yang lain.


[ واعتصموا بحبل الله جميعا ًولاتفرقوا واذكروا نعمت الله عليكم إذ كنتم أعداء فألف بين قلوبكم فأصبحتم بنعمته إخوانا ً و كنتم على شفا حفرة من النار فأنقذكم منها ]

(Seolah-olah Allah memaksudkan) Dan berpeganglah kamu sekalian secara berjemaah dengan tali Allah yakni kitab Allah dan agama-Nya dengan teguh; yakni dengan sifat IJTIMA’IYYAT yang sempurna serta sifat perasaan ummat, berpegang kepada agama dan berpautlah kepadanya. Jangan menjadi berpecah-belah atas perkauman atau kedaerahan atau dari segi bahasa. Dan janganlah melupakan ihsan Allah yang mana Allah Taala telah menghapuskan permusuhan yang telah berkekalan sesama sendiri di kalangan kamu dan telah menyatukan hati-hati kamu dan telah menjadikan persaudaraan satu sama lain. Semasa kamu berperang sesama sendiri, kamu sebenarnya telah menghampiri neraka sehingga kamu telah hampir jatuh ke dalamnya; Allah Taala telah memegang kamu dan telah menyelamatkan kamu dari neraka.

Syaitan memang ada bersama kamu. Penyelesaian masalah ini adalah di tangan kamu. Kamu seharusnya berada di dalam satu golongan yang tugasnya hanyalah menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada keburukan dan fasad.


وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٌ۬ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ‌ۚ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (١٠٤

Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Surah Al ‘Imran: 104)


Di kalangan ummat harus ada satu golongan yang tugasnya menyeru manusia kepada agama dan segala jenis kebaikan; mereka harus meneruskan usaha untuk iman, untuk kebaikan dan kebajikan, mereka perlu usaha atas solat, atas zikir, atas ilmu yang telah di bawa oleh Rasulullah saw. Mereka juga perlu usaha untuk selamatkan manusia dari keburukan dan segala jenis maksiat. Melalui usaha sedemikian rupa ummat akan berkekalan sebagai umat yang bersatu-padu.


وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ تَفَرَّقُواْ وَٱخۡتَلَفُواْ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلۡبَيِّنَـٰتُ‌ۚ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ لَهُمۡ عَذَابٌ عَظِيمٌ۬ (١٠٥

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar. (Surah Al ‘Imran: 105)


Sesiapa yang selepas menerima kesemua nasihat-nasihat ini, dan masih meneruskan untuk mengikut jalan syaitan, berjalan secara berasingan, menimbulkan perlawanan dan merosakkan perasaan dan perpaduan ummat, maka bagi mereka ada penyeksaan yang keras.

Kesemua ajaran dan perkara-perkara dalam agama mempunyai JORD (kesatuan) dan juga untuk kesatuan dan perpaduan. Di dalam solat ada Jord, dalam puasa ada Jord. Dalam haji ada Jord bagi pelbagai kaum dan bangsa dan negara dan manusia yang bercakap dalam berbagai-bagai bahasa. Di dalam halaqah ta’lim ada Jord. Sifat ikram (memuliakan) orang-orang Islam dan mencintai orang-orang Islam, memberi dan menerima hadiah antara satu sama lain, kesemua ini adalah yang mendatangkan kesatuan dan yang membawa ke syurga. Mereka yang membuat usaha untuk kesemua amalan ini akan mendapati wajah mereka berseri-seri pada hari Hisab."

Dan sebaliknya, benci, hasad, dengki, mengumpat, menghasut, menghinakan orang, mengecilkan hati orang dan menyakiti hati orang, kesemua ini adalah perbuatan yang menyebabkan perpecahan dan membawa ke neraka. Mereka yang melakukan perbuatan tersebut akan dihinakan pada hari Hisab.


يَوۡمَ تَبۡيَضُّ وُجُوهٌ۬ وَتَسۡوَدُّ وُجُوهٌ۬‌ۚ فَأَمَّا ٱلَّذِينَ ٱسۡوَدَّتۡ وُجُوهُهُمۡ أَكَفَرۡتُم بَعۡدَ إِيمَـٰنِكُمۡ فَذُوقُواْ ٱلۡعَذَابَ بِمَا كُنتُمۡ تَكۡفُرُونَ (١٠٦
وَأَمَّا ٱلَّذِينَ ٱبۡيَضَّتۡ وُجُوهُهُمۡ فَفِى رَحۡمَةِ ٱللَّهِ هُمۡ فِيہَا خَـٰلِدُونَ (١٠٧

(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa Neraka disebabkan kekufuran kamu itu. Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (Syurga), mereka kekal di dalamnya. (Surah Al-'Imran: 106-107)

Mereka yang telah memecah-belahkan, dan menjalani perbuatan yang memecah-belahkan, telah menghancurkan perasaan ummat, maka pada hari kiamat mereka akan bangkit dari kubur masing-masing dengan muka yang hitam; mereka akan diberitahu bahawa kamu telah mengambil cara-cara orang kafir setelah kamu dikurniakan dengan Iman dan Islam. Jadi, rasailah kamu di sini azab neraka sepertimana telah kamu kufurkan. Dan mereka yang ikut jalan yang betul, wajah-wajah mereka akan bercahaya dan berseri-seri. Untuk selama-lamanya mereka akan berada di dalam rahmat Allah Ta'ala dan syurga."


Saudara-saudaraku dan teman-temanku sekalian! Kesemua ayat-ayat ini telah diturunkan pada masa orang-orang Yahudi telah cuba untuk memecah-belahkan orang-orang Ansar dan menjadikan dua kabilah Ansar bermusuhan antara satu sama lain. Di dalam ayat-ayat tersebut, perpecahan, pergaduhan dan berperang antara satu sama lain di kalangan ummat telah disifatkan sebagai kufur dan telah diberi ancaman untuk azab di akhirat.

Pada hari ini di seluruh dunia telah berlaku usaha untuk memecah-belahkan perasaan sebagai satu ummat. Jalan penyelesaian dan perkara yang boleh mengatasinya ialah hendaklah kamu menyibukkan diri kamu sendiri dalam usaha Baginda Rasulullah s.a.w. Hendaklah kamu mengajak orang-orang Islam ke masjid. Hidupkanlah perbincangan tentang iman. Dirikanlah halqah Ta'lim dan Zikir. Bermesyuaratlah mengenai usaha agama. Telah terbukti bahawa pelbagai kaum, keturunan dan manusia dari berbagai-bagai daerah dan yang bercakap berbagai-bagai bahasa telah bersatu padu melalui amalan-amalan ini di Masjid Nabawi.

Perasaan perpaduan ummat akan hidup apabila kamu akan mengelakkan diri dari perkara-perkara yang memberi peluang kepada syaitan untuk memecah-belahkan kamu. Apabila tiga orang duduk bersama, maka hendaklah kamu ingat bahawa yang keempat bersama kamu adalah Allah s.w.t. Apabila ada empat atau lima orang duduk bersama, maka hendaklah kamu selalu ingat bahawa Allah s.w.t bersama kamu sebagai yang kelima atau yang keenam; Dia mendengar setiap perkataan kamu dan Dia melihat sama ada kamu berbincang untuk perpaduan ummat ataupun kamu memecahbelahkan ummat. Adakah kamu sedang mengumpat atau menghasut, atau membuat perancangan jahat untuk orang lain.


Ummat ini telah dibentuk dengan tumpahan darah Baginda Rasulullah s.a.w dan kelaparan Baginda s.a.w, sementara kita hari ini memecahbelahkan ummat atas perkara-perkara kita yang kecil. Ingatlah bahawa meninggalkan solat Jumaat pun tidak akan datang begitu banyak keburukan seperti yang berlaku akibat memecah-belahkan ummat. Apabila akan datang perasaan perpaduan ummat di kalangan orang-orang Islam, maka tidak sekali-kali mereka akan dihinakan di dunia ini. Kekuatan Russia dan Amerika juga akan menunduk di hadapan mereka. Dan perasaan ummat akan hanya datang apabila diamalkan atas ayat:


أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ
Bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman.. (Surah al-Maidah: 54)

Yakni, setiap orang Islam disisi orang Islam yang lain akan mengecilkan, merendahkan, dan menghinakan diri dan akan berkelakuan lemah-lembut terhadapnya. Di dalam tabligh harus kita melatihkan diri untuk perkara ini. Apabila akan datang sifat ( أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ ) di kalangan orang-orang Islam, maka di dunia mereka akan menjadi:


أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ
Maksudnya: ..berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir.. (Surah al-Maidah: 54)


Iaitu, ia akan dimuliakan berbanding dengan orang-orang kafir. Ia akan dikurniakan Allah s.w.t dengan kehebatan dan kemenangan ke atas orang-orang kafir...