Sunday, April 4, 2010

Biografi Syeikh Nuruddin al-Banjari al-Makki..

dari kanan-Syeikh Nuruddin, Habib Umar dan Habib Ahmad Atthas..

tengah-Syeikh Muhammad[anak Sy. Ismail Usman Zain, kanan-Habib Umar

alfaqir bersama Syeikh di rumah beliau...


BIOGRAFI RINGKAS AL-FADHIL AL-WALID SHEIKH MUHAMMAD NURUDDIN MARBU ABDULLAH AL-BANJARI AL-MAKKI

al-Fadhil Tuan Guru Syaikh Muhammad Nuruddin bin Haji Marbu bin Abdullah Thayyib حفظه الله berasal dari Banjarmasin, Kalimantan Selatan Indonesia. Beliau dilahirkan di sebuah desa bernama Harus, Amuntai pada tanggal 1 September 1960M. Beliau anak yang ketiga dari tujuh bersaudara, dari sebuah keluarga yang taat beragama. Bonda beliau bernama Hajjah Rahmah binti Haji Muhammad Sobri adalah puteri dari seorang tokoh ulama besar di Kalimantan Selatan.



Berhijrah ke Tanah Suci Mekah..

Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah rendah di kampung Harus. Kemudian pada tahun 1974 beliau belajar di pondok pesantren Normal Islam. Belum pun sempat menamatkan pengajiannya di pondok tersebut seluruh keluarga beliau telah berhijrah ke tanah suci Makkah. Pada tahun itu juga (1974) beliau meneruskan pengajiannya di madrasah Shaulathiah [sejarah penubuhan madrasah ini boleh didapati disini] sehingga tahun 1982. Selain itu beliau juga mengikuti pengajian yang diadakan umum di Masjidiharam dan juga dirumah para masyaikh.
[ pernah aku menziarahi Madrasah Shaulatiah yang tidak jauh dari Masjidil Haram ketika menunaikan haji tahun lepas, aku dikhabarkan madrasah tersebut akan diroboh bagi tujuan membesarkan Masjidil Haram..]

Pada tahun 1982 beliau telah menamatkan pengajiannya dengan kepujian mumtaz (cemerlang) di madrasah Shaulathiah. Di samping itu juga beliau turut mencurahkan ilmunya kepada para pelajar dari Indonesia. Beliau telah mengajarkan kitab Qatrunnada, Fathul Mu'in, 'Umdatussalik, Bidayatul Hidayah dan lain-lain sebelum naik ke kelas 'Aliyah.

Beliau merupakan murid kesayangan gurunya asy-Syaikh al-‘Allamah Ismail Utsman Zain al-Yamani رحمه الله . Dan guru inilah yang banyak mewarnai dalam kehidupan beliau. Tuan guru beliau ini banyak meluangkan waktunya yang berharga untuk beliau dan sering mengajaknya untuk menemani Tuanvguru beliau ke Madinah menghadiri program agama dan juga menziarahi maqam baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

[Ketika aku di Bogor setelah selesai Multaqo Ulama di Puncak, saat ziarah mahabbah al-Habib Umar dan Syeikh Muhammad anak kepada guru kesayangan beliau.. kelihatan Syeikh Nuruddin sebak kerana sangat gembira kerana zuriat gurunya datang ke maahad beliau, juga buat pertama kali guru mulia alHabib Umar datang ke maahad beliau. Nama pondok beliau sendiri dinamakan sempena nama guru beliau.]

Beliau mencurahkan segala usaha dan tenaganya serta dirinya mendekati para masyaikh untuk berkhidmat dan juga membekali diri dengan ilmu daripada guru-gurunya. Beliau amat gigih dalam belajar, maka tidak hairanlah kalau beliau mendapat tempat di hati para gurunya. Sebut sahaja ulama' yang ada di Mekah khususnya pasti beliau pernah berguru dengan mereka. Siapa yang tidak mengenali tokoh ulama' yang harum nama mereka disebut orang semisal Syaikh al-Allamah Hasan al-Masyath yang digelar Syaikh-ul-Ulama', Syaikh al-Allamah Muhammad Yasin al-Fadani, yang mendapat julukan Syaikhul Hadits wa Musnidud-dunya, Syaikh Ismail Usman Zin al-Yamani yang digelar al-Faqih ad-Darrakah (guru beliau ini menghafal kitab Minhajut Tholibin), Syaikh Abdul Karim Banjar, Syaikh Suhaili al-Anfenani, as-Sayyid Muhammad bin Alwi al-Maliki, Syaikh Said al-Bakistani dan masih banyak lagi. Kata pepatah arab “cakap sahaja tanpa perlu khuatir”. Kitab-kitab yang dipelajari beliau bersambung sanad hingga kepada pengarang, masyaAllah betapa hebat dan beruntungnya umur beliau dan segala-galanya yang diberikan oleh Allah, tidak salah kalau dikatakan ilmu beliau lebih tua dari umurnya.

Pada tahun 1983 beliau telah melanjutkan pengajiannya di Universiti al-Azhar asy-Syarif dalam bidang syariah hingga mendapat gelar sarjana muda. Kemudian beliau meneruskan lagi pengajiannya di Ma'had 'Ali Liddirasat al Islamiah di Zamalik sehingga memperolehi diploma am “Dirasat 'Ulya” pada tahun 1990

Antara guru-gurunya ketika belajar di Mekah dan Mesir adalah adalah:-
  • asy-Syaikh al-‘Allamah Hasan al-Masyath رحمه الله
  • asy-Syaikh al-‘Allamah Muhammad Yasin al-Fadani رحمه الله,
  • asy-Syaikh al-‘Allamah Ismail Utsman Zain al-Yamani al-Makki رحمه الله,
  • asy-Syaikh ‘Abdullah Said al-Lahji رحمه الله,
  • asy-Syaikh al 'Alaamah al-Jalil as-Sayyid 'Amos رحمه الله
  • asy-Syaikh al-‘Allamah Muhammad ‘Iwadh al-Yamani رحمه الله
  • asy-Syaikh Zakaria Bila al-Indonesia رحمه الله
  • asy-Syaikh Muhammad Syibli al-Banjari رحمه الله
  • asy-Syaikh Karim al-Banjari رحمه الله
  • asy-Syaikh ‘Abdul Karim al-Bukhari رحمه الله
  • asy-‘Adnan al-Afnani رحمه الله
  • asy-Syaikh Saifurrahman رحمه الله
  • asy-Syaikh Sahili al-Anfanani رحمه الله
  • asy-Syaikh Said al-Bakistani رحمه الله
  • asy-Syaikh al-‘Allamah al-Muhaddits al-Kabir Muhammad Zakaria al-Kandahlawi رحمه الله
  • asy-Syaikh al-Jalil al-Habib ‘Abdul Qadir as-Saggaf حفظه الله
  • asy-Syaikh Muhammad Muntashir al-Katani al-Maghribi رحمه الله
  • asy-Syaikh al-‘Allamah al-Muhaddits al-Habib as-Sayyid Muhammad ‘Alawi al-Maliki رحمه الله
  • asy-Syaikh al-‘allamah Muhammad Makki al-Hind رحمه الله
  • asy-Syaikh Muhammad Makhluf رحمه الله
  • asy-Syaikh al-‘allamah ‘Abdullah bin Hamid رحمه الله
  • asy-Syaikh al-‘Allamah al-Kabir Muhammad Mutawalli asy-Sya’rawi رحمه الله
  • asy-Syaikh al-Imam al-Akbar ‘ali Jadul Haq رحمه الله
  • asy-Syaikh Muhammad Zaki Ibrahim رحمه الله
  • al-Ustaz ad-Doktor asy-Syaikh Muhammad Tayyib an-Najjar رحمه الله
  • asy-Syaikh al-Jalil ar-Rabbani Muhammad ‘Abdul Wahid رحمه الله
  • asy-Syaikh al-‘allamah al-Kabir Abul Hasan ‘Ali an-Nadwi رحمه الله
  • asy-Syaikh al-‘Allamah al-Faqih ‘atiyyah Saqr رحمه الله
  • asy-Syaikh al-‘Allamah Hussin رحمه الله
  • asy-Syaikh ‘Abdul Hafidz al-Hind رحمه الله
  • al-Ustadz ad-Doktor Ahmad umar Hasyim حفظه الله,
  • al-Ustadz ad-Doktor ‘Abdusshobur Syahin
  • al-Ustadz ad-Doktor ‘Abdul Fattah asy-Syaikh,
  • al-Ustadz ad-Doktor Nashr Farid,
  • asy-Syaikh al-‘Arifbillah Yusuf Mahyuddin al-Hasani asy-Syadhuli ad-Darqawi حفظه الله dan ramai lagi.

MENABUR JASA & MENYANDANG GELAR AZHARUS TSANI

Setelah menamatkan pengajian di Universiti al-Azhar beliau menumpukan perhatiannya untuk mencurahkan ilmunya kepada ribuan para pelajar yang datang dari Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand yang menuntut di Universiti al Azhar sehingga beliau mendapat gelaran al Azharus Tsani (Azhar ke Dua) satu julukan yang terhormat dan tulus dari masyarakat universiti al Azhar sendiri.


Beliau mengadakan kelas pengajian yang diberi nama “Majlis Al-Banjari Littafaqquh Fiddin” semenjak tahun 1987 sehingga 1998 yang mana buat pertama kalinya diadakan di rumah pelajar Johor dan rumah pelajar Pulau Pinang, di dewan rumah Kedah dan di dewan rumah Kelantan dan juga di masjid Jamik al Path di Madinah Nasr. Di samping mengajar beliau juga menghasilkan kitab-kitab agama berbahasa Arab dalam pelbagai bidang yang banyak tersebar luas di Timur Tengah dan juga di negara Malaysia. Boleh dikatakan setiap para pelajar yang belajar di Al-Azhar Mesir semasa beliau berada di sana pernah menimba ilmu dari tokoh ulama' muda ini. Dan memanglah semenjak dari awal keterlibatannya dalam dunia ta'lim beliau telahpun menazarkan diri beliau untuk terus menjadi khadim (orang yang berkhidmat) untuk penuntut ilmu agama. Semoga Allah Ta’ala mengurniakan kesihatan dan ke'afiaatan kepada beliau serta keluarganya dan memberikan kesempatan yang seluasnya untuk beliau terus mencurahkan ilmu dan terus menghasilkan karya ilmiah.

MENGHASILKAN KARYA ILMIAH

Beliau telah melibatkan diri dalam dunia penulisan semenjak tahun 1991. Beliau telah menghasilkan karangan dan juga mentahqiq kitab-kitab mu'tabar tidak kurang daripada 50 buah karangan kebanyakkannya dalam bahasa Arab.

Kitab tulisan beliau:
  • الإحاطة بأهم مسئل الحيض والنفاس والاستحاضة
  • تساؤلات وشبهات وإباطيل حول معجزة الإسراء والمعراج والرد عليها
  • المختار من نوادر العرب وطرائفهم
  • آدب المصافحة
  • من هو المهدى المنتظر؟
  • المجال الإقتصاد في الإسلام
  • بيان مفتى جمهورية مصر العربية حول فوائد البنوك في ميزان أهل العلم
  • سفر المرأة (احكامه و آدابه)
  • الدرر البهية في إيضاح القواعد الفقهية
  • معلومات تهمك
  • أسماء الكتاب الفقهية لسادتنا الأئمة الشافعية
  • أحكام العدة في الإسلام
  • آراء العلماء حول قضية نقل الأعضاء
  • أدلة بحريم نقل الأعضاء الآدمية
  • الأمر بالمعروف والنهى عن المنكر في الكتاب والسنة
  • العبر ببعض معجزات خير البشر صلى الله عليه وسلم
  • محمد نور الدين مربو البنجاري المكي والأحاديث المسلسة
  • الجوهر الحسن من أحاديث سيدنا عثمان عفان رضي الله عنه
  • اسمى المطالب من بعض أحاديث سيدنا على بن أبي طالب رضي الله عنه
  • مراقي الصعود من بعض أحاديث سيدنا عبدالله بن مسعود رضي الله عنه
  • إفادة العام والخاص من بعض أحاديث سيدنا عبدالله بن عمرو بن العاص رضي الله عنهما
  • الكواكب الدري من أحاديث سيدنا أبي سعيد الخدري رضي الله عنه
  • الكواكب الأغر ببعض أحاديث سيدنا عبدالله بن عمر رضي الله عنهما
  • زاد السلك من أحاديث سيدنا أنس بن مالك رضي الله عنه
  • الإقتباس من أحاديث سيدنا عبدالله بن عباس رضي الله عنهما
  • فيض الباري حول بعض أحاديث سيدنا أبي موسى الإشعري رضي الله عنه
  • الردة أسبابها وأحكامها
  • توفيق الباري لتوضيح وتكميل مسائل الإيضاح للامام النووي
  • مكانة العلم والعلماء وآداب طالب العلم
  • dan banyak lagi

Antara kitab yang beliau tahqiq dan ta’liq
  • رسالة المعاونة والمظاهرة والمؤازرة
  • قرة العين بفتاوى الشيخ إسماعيل عثمان زين
  • رفع الأستار عن دماء الحج والاعتمار
  • شروط الحج عن الغير
  • الحسن البصري
  • إقامة الحجة غلى أن الإكثار في التعبد ليس ببدعة
  • خصوصيات الرسول صلى الله عليه وسلم
  • يستان العارفين
  • dan banyak lagi

MAJLIS PENGAJIAN BELIAU Dl TANAH AIR MALAYSIA

Pada tahun 1998 beliau telah diperlawa untuk mengajar di Maahad Tarbiah Islamiah (MTI), Derang Kedah, yang diasaskan oleh al-Marhum Ustaz Niamat Bin Yusuf رحمه الله pada tahun 1980. Beliau tidak ubah umpama hujan yang menyuburkan bumi yang lama kehausan siramannya. Beliau menetap di MTI Derang hinggalah tahun 2002. Beliau merupakan tenaga pengajar yang utama lagi disegani yang banyak memperuntukkan masa beliau untuk para pelajar di Maahad 'Ali Littafaqquh Fiddin, Derang.
[gambar sebelah ini adalah gambar Shaikh Hasan al-Masyath]

Di samping itu beliau juga dijemput mengadakan pengajian dan ceramah bulanan atau mingguan di masjid-masjid, sekolah-sekolah. majlis-majlis perayaan agama malah suara beliau telah lantang bergema menyampaikan syiar agama di hotel-hotel, di pejabat kerajaan sama ada di negeri Kedah Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Terangganu. Setiap kali pengajian yang diadakan pasti akan bertambah jumlah hadirin yang tidak mahu ketinggalan menimba ilmu dan menerima siraman rohani daripada beliau. Selepas 4 tahun menabur bakti di bumi Kedah beliau telah pulang ke tempat asal kelahirannya untuk menubuhkan pesantren beliau sendiri di Kalimantan dan seterusnya pada tahun 2004 beliau menubuhkan Maahad az-Zein al-Makki al-‘Ali Litafaqquh Fiddin di Ciampiea, Bogor, Jawa Barat, Indonesia. Dan disinilah beliau menetap dan mendiri bakal ulama.

KELEBIHAN BELIAU..

Yang pertama dan utama adalah beliau selalu istiqamah dalam apa jua yang dikerjakannya. Beliau mempunyai semangat yang luar biasa tinggi, tegas dengan prinsip dan berdisiplin tinggi, berwibawa, bersemangat ketika menyampaikan ilmu. Diantara kelebihan beliau lagi walaupun banyak kelebihan beliau yang lain iaitu beliau tidak pernah kelihatan letih walaupun jauh dan lama masa mengajar, banyak tempat pengajian yang beliau hadiri dan juga kelebihannya lagi pasti ada perkara baru yang disampaikan oleh beliau dalam pengajarannya. Adapun kehebatan beliau dalam menyampaikan ilmu mengaitkan masalah semasa dengan apa yang disampaikannya sungguh amat luar biasa dan amat member kesan sekali kepada para hadirin. Beliau bukan sahaja mencurahkan ilmu kepada muridnya bahkan terlebih utama lagi beliau memberi didikan adab semasa belajar. Itu merupakan fadhlun minallah kepada hamba-hambanya yang bertaqwa kepadanya.
[gambar diatas ialah gambar Shaikh Yasin al-Fadani. Salah satu daripada sanad hadits musalsal yang dikontroversikan oleh bekas Mufti Perlis yang Syeikh Nuruddin terima dari Syeikh Yasin]

IRSYADAT AL FADHIL

(Petikan ucapan sulung al-Fadhil Syeikh Muhammad Nuruddin hari pertama pengajian di kelas al-Ma'hadul ‘Ali Lit Tafaqquh Fiddin Derang, Kedah - pada hari Itsnin 9 Ramadhan 1419H bersamaan 28 Disember 1998 M.)

  • Jangan tersilau dengan gelar PhD atau MA dan sebagainya. Penubuhan al Ma’hadul 'All Littafaqquh Fiddin ini untuk mendapat redha Allah dan membawa misi dan visi Nasratu Dinillah Taala dan adda‘watu ilallah Menuntut ilmu untuk menolong agama Allah, bukan untuk sijil, syahadah atau untuk dunia serta pangkat.
  • Terlalu murah kalau dengan ilmu hanya untuk mendapat gaji lumayan. Kalau belajar hanya untuk duit akan terhenti dengan duit, dapat duit tinggal ilmu.
  • Tanggungjawab kita lah terhadap ilmu di tanahair khususnya dan seluruh dunia umumya.
  • Siapkan diri untuk berkorban demi ilmu, agama. Ilmu untuk agama dan akhirat.
  • Bekerjalah untuk Islam, jangan biarkan musuh Islam mengukut tanah umat Islam dikeranakan ulama kita tidur sedang kita asyik bertengkar sesama sendiri.
  • Jadilah 'abidan lillah (hamba kepada Allah jangan 'abidan li makhluk (hamba kepada makhluk). Menuntut ilmu harus ikhlas baru berkat.
  • Berakhlaklah dengan guru yang kita mengaji dengannya. Mohon restu guru, dekati dan dampingi mereka merupakan kunci dan rahsia keberhasilan.
  • Hormatilah kitab-kitab, susun dengan baik dan terhormat, jangan letak sesuatu di atas kitab, membawa kitab jangan seperti menenteng ikan sahaja, dakapkan ke dada.
  • Akhlak juga harus besar sebagaimana besarnya kitab-kitab yang kita pelajari dan beramallah, jangan sampai belajar di kelas Tafaqquh tapi tak berminat untuk beramal.
  • Saya bukan seperti kebanyakan guru silat yang menyimpan langkah-langkah atau jurus-jurus maut yang mematikan dari diketahui murid-murid.

wahai Allah! berkatilah guru kami ini.. temukanlah kami dengan mereka yang menunjukkan ke jalan-Mu.. amin Allumma amiin...

-peribadinya berzikir, zikir menjadi keperibadiannya.. Allah tujuannya, Rasulullah s.a.w teladan dalam hidupnya. Dunia ini menjadi syurga sebelum syurga sebenarnya.. bumi menjadi masjid baginya.. tempat ia berpijak hamparan sejadah baginya.. Kalau dia berbicara, bicaranya ilmu dan dakwah. Kalau dia berdiam,diamnya zikir.. nafasnya tasbih, matanya penuh rahmat Allah, penuh kasih sayang. telinganya terjaga fikirannya baik sangka. hatinya.. subhanallah! diam-diam berdoa. tangan bersedeqah, kakinya berjihad ia tidak mahu melangkah sia-sia. kekuatannya silaturrahim. Kerinduannya ialah tegaknya kalimah Allah, sabar pakaiannya..

JazaAllahu 'anna khairal jaza' murobbina wa habibana Syeikh Nuruddin...

Wednesday, March 31, 2010

Ya Allah, hanya pada-Mu tempatku mengadu...


Ya Allah!
kenapakah hati ini begitu keras untuk mengingati-Mu?
mungkinkah jiwaku sudah penuh dengan kekotoran?
setiap hari aku solat, membaca al-Quran tetapi aku tidak dapat merasai kenikmatan bagaimanakah akan aku tempuhi hidup ini?
adakah jiwa ini akan dapat Engkau terima?

Ya Allah!
janganlah Engkau tinggalkan aku,
janganlah Engkau biarkan jiwa ini ternoda dengan kemaksiatan,
apalah diri ini tanpa-Mu,
aku begitu lemah untuk mengharungi gelombang dunia ini...

Ya Allah!
kasihanilah jiwaku yang kerdil ini,
aku sangat mengharapkan pimpinan-Mu,
aku sangat rindukan belaian kasih sayang-Mu,
bantulah aku, Ya Allaah...
bantulah aku, Ya Robbi...
lemparkanlah cahaya-Mu ke dalam jiwaku...

Ya Allah!
apalah erti kehidupan ini tanpa kehadiran-Mu..
apalah gunanya segala yang kumiliki tanpa rahmat-Mu..

Ya Allah!
berilah petunjuk-Mu kepadaku,
aku tahu bahawa petunjuk-Mu adalah mahal dan perluku bayar..
aku redha, Ya Allah..

Engkau ambillah apa yang aku miliki tetapi
campakkanlah Nur-Mu kedalam jiwa ini...

Ya Allah! aku malu untuk berhadapan dengan-Mu..
aku begitu kotor dan jijik..
riya', tamak, sombong, dengki telah membelenggu hidupku..
jiwaku lemas...

Setiap kali cuba mengingati-Mu
setiap kali juga jiwaku menghalang
fikiranku berkecamuk
Ya Allah dimanakah cahaya-Mu?

Ya Allah!
hanya kepada Engkau tempatku mengadu..
hanya kepada-Mu tempat aku mencurahkan perasaanku..
kerana aku tahu hanya Engkau yang dapat membimbing
jiwaku yang kerdil ini...

Maka bimbinglah aku Ya Allah..
pimpinlah aku, pimpinlah aku..
pimpinlah akuuu... Ya Allah!


dipetik dari risalah kecil "Bisikan Sirr.."

Tuesday, January 19, 2010

Detik Indah Bersama Guru Mulia..


Nasihat Habib Umar di Maahad azZein, Muharram 1430h

Multaqo Ulama: Majlis Muwasolah Baina Ulama al-Muslimin 1431..

al-faqir di Multaqo Ulama 2009, Bogor


Bayan disampaikan oleh: Guru Mulia al-Allamah al-Habib Umar bin Hafizd.
Bertempat di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya.
Pada 10-11 Januari 2010.

Bismillahirrahmanirrahim.

Kepada saudara-saudaraku yang tercinta dan dimuliakan, para ahli ilmu syaria'h Ilahi Al Muhammadi, semoga Allah menjaga dan melindungi serta menuntun langkah-langkah dan mengilhamkan kalian petunjukNya. Semoga Allah menganugerahkan kemampuan untuk menjaga amanat, menunaikannya dengan sempurna dan semoga Allah membantu dalam menegakkan syariat yang lurus dan penuh kelapangan ini. Semoga Allah memberikan manfaat kepada umat, melindungi kemurnian islam, menjaga hidayah dariNya dan kebenaran agamaNya melalui para ulama dan juga kita semua. Amiin.

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

Amma ba'du

Para Ulama yang mulia,

Sebagaimana telah kita ketahui bersama tentang keadaan umat Islam saat ini berupa kemunduran, perpecahan dan bermaharajalelanya keburukan, juga bencana dan ujian yang terus menimpa. Penyebab utamanya adalah dilalaikannya perintah-perintah Allah dan segala yang Allah haramkan terus dilanggar dengan sengaja.

"Ketahuilah bahawa sesungguhnya setiap raja punya batasan yang tidak boleh dilanggar. Ketahuilah bahawa batasan milik Allah adalah segala yang Dia haramkan." (HR: Bukhari dan Muslim)

Juga sudah diketahui besarnya tanggungjawab dan tugas para ulama. Mereka adalah orang yang menjadi sinar hidayah, penunjuk jalan dalam menyelamatkan umat, penerang bagi mereka dan penjaga ajaran Allah swt. Sesungguhnya tugas mulia itu tidak mungkin direalisasikan para ulama melainkan jika mereka saling tolong menolong, bersatu, jujur dan fokus pada tujuan-tujuan di atas. Justeru untuk melaksanakan tujuan tersebut terfikir dan timbul hasrat yang kuat untuk mendirikan "Majlis Silaturrahim di antara Para Ulama". Adapun penjelasan tentang maksud, tujuan dan saranan yang akan digunakan oleh majlis ini terlampir bersama surat ini.

"...Kemudian apabila engkau telah berazam (Sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun Yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengalahkan kamu, maka siapakah Yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan Yang demikian)? dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang Yang beriman itu berserah diri." (Ali Imran: 159-160)

Tujuan mendirikan majlis seperti ini bukanlah untuk membuat suatu gerakan baru, organisasi baru, parti baru atau seumpamanya kerana hal yang demikian sudah banyak dan umat Islam tidak lagi memerlukan tambahan organisasi baru serupa itu. Sebaliknya, maksud dan tujuan dibentuknya majlis ini adalah untuk melaksanakan kerja aktif dalam dakwah yang murni dan sesuai dengan keadaan. Dimana para pelaksana kerja dakwah ini dapat menyesuaikan dan memanfaatkan berbagai realiti yang ada dengan ruang lingkup ilmu syariat yang suci dan mampu memperbaiki sikapnya dalam berhadapan dengan semua realiti tersebut. Seterusnya berkemampuan menyusunatur semua unsur yang terkait bagi tujuan memelihara kepentingan umat berdasarkan kerangka dan landasan agama yang lurus, terbuka tanpa sikap fanatik berlebihan, mengelirukan umat dan kurang prihatin. Harapannya agar usaha dakwah dari semua unsur dapat dicurahkan demi keperluan utama umat dalam menjaga agama serta tegaknya kesatuan mereka.

"dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamaNya); dan ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: "Orang-orang Islam" semenjak dahulu dan di Dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang Yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang Yang benar dan Yang salah). oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. maka (Allah Yang demikian sifatnya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik pemberi pertolongan" (Al Hajj: 78)

Kita semua akan melaksanakan kerja dakwah ini secara bertahap sesuai kemampuan dengan berharap bantuan, pertolongan dan rahmat Allah SWT yang luas. Usaha dakwah ini juga haruslah ada kesinambungan, tanpa rasa putus asa, tergesa-gesa, menunda-nunda atau bermalas-malasan. Apabila kalian mempunyai pendapat atau pandangan untuk merealisasikan tujuan mulia yang kita bersama harapkan ini, maka insyaAllah akan ada yang mengumpulkan pendapat atau pandangan kalian untuk diteliti sehingga mungkin dan layak untuk dijalankan.

Para Ulama yang mulia,

Jika rencana tersebut di atas yakni mendirikan majlis amali yang terlepas dari sikap fanatisme dan kepentingan pribadi, duniawi, dianggap baik, maka kami harapkan kalian dapat menuliskan nama serta data diri. Dalam majlis ini kalian diharap dapat mengenalpasti kesesuaian samaada dapat meletakkan diri sebagai pendokong kelompok kerja atau sebagai anggota aktif dalam pelaksana kerja. Seandainya kalian menjadi anggota aktif maka pihak kami akan menyampaikan permasaalahan terkini secara jelas yang tentunya memerlukan penglibatan aktif dari kalian. Sekiranya sebagai pendokong maka pihak kami akan menyampaikan permasaalahan tersebut secara umum dan berharap bantuan kalian untuk menghuraikannya.

Perlu difahami bahawa semua pilihan di atas tentunya tidak akan membuat terbengkalainya kegiatan khusus, tugasan rutin atau tanggungjawab harian kalian. Sesungguhnya apa yang telah kalian jalankan selama ini sama sekali tidak berlawanan atau bertentangan dengan pilihan tersebut. Sesuatu hanya dianggap bertentangan dengan tujuan majlis ini apabila :

1. Hal itu berlawanan dengan nas syariah qoth'i yang tidak ada penafsiran lain di dalamnya.

2. Hal tersebut secara jelas dan nyata dapat merusakkkan maksud dan tujuan dari majlis muwasolah ini.

Pelayan antum yang mengharapkan doa,

Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz ibn Syech Abubakar bin Salim

MAJLIS SILATURRAHIM PARA ULAMA

Tujuan:

1. Menguatkan ikatan taaruf dan komunikasi antara ulama. Saling membantu dalam menghuraikan persoalan intipati agama yang dapat memberikan kemaslahatan pada masyarakat dan menjaga kepentingan umum yang mendasar bagi umat Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam.

2. Meningkatkan taraf kemampuan ilmiah di halaqah, madrasah, pondok, dan pusat pendidikan Islam dengan merangkumi pembersihan jiwa (tazkiyatun nafs), pendidikan akhlaq serta kecekapan dan kebijaksanaan dalam dakwah fisabilillah.

3. Memberikan penjelasan yang benar atas isu-isu atau perubahan semasa dan terkini agar pandangan para ulama atas masalah tersebut menjadi lebih mendalam dan lebih bersesuaian dengan keadaan dan kesatuan umat.

Saranan:

1. Saling berkunjung

2. Saling berdiskusi

3. Menyampaikan apa yang dipahami para ulama kepada yang lain dalam kaitannya dengan isu yang penting, atau menyampaikan hasil sebuah penelitian, kemajuan, temuan atau ciptaan baru yang bermanfaat atau penerbitan dan produk lainnya.

Diterjemah oleh : al-Fadhil al-Habib Ali Zainal Abidin b. Abd Hamid.

Ketenangan Ibadat Tahajjud..

Malam itu gelap gelita tetapi ia amat indah. Di muka langit bertaburan bintang-bintang yang berkelipan, di sisi bulan yang terang benderang. Untuk apakah Allah s.w.t jadikan malam? Ada waktu malam yang dihiasi dengan munajat kepada Allah s.w.t dan ada waktu malam yang dihiasi dengan derhaka kepada Allah s.w.t. Jadi malam itu tidak sentiasa indah dan permai kerana ia bergantung kepada penghuni-penghuninya.

Bagi orang-orang yang soleh merindui malam ibarat pengantin menanti malam pertama. Kerana pada waktu malam untuk mereka bermesra dengan Sang Kekasihnya. Pada waktu malam tiada kebisingan kecuali mereka mengadu dan bermunajat kepada Tuhannya. Kalau sepasang kekasih mencari waktu malam untuk memadu kasih, maka tidak hairanlah kalau orang-orang yang soleh juga menggunakan waktu malam untuk memadu cinta sejati dengan Allah s.w.t. Berkata Fudhail bin Al-Iyadh: “Apabila terbenam matahari maka saya gembira dengan gelap. Dan apabila terbitnya matahari maka saya berdukacita kerana datangnya manusia kepadaku!” Abu Sulaiman pula berkata: “Jikalau tidaklah kerana malam, nescaya saya tidaklah menyukai tinggal di dunia ini.”

Selain dari keheningan malam yang ada pada waktu malam, Allah juga menurunkan malaikat-malaikat pada malam hari untuk memberi rahmat kepda hamba-hambaNya yang sedang beribadah. Malaikat akan turun ke bumi mencari manusia-manusia yang menghidupkan malam dengan ibadah untuk diberi rahmat dan diaminkan doanya. Pada waktu malam juga akan ada satu detik di mana barangsiapa yang berdoa ketika itu akan dikabulkan segala hajatnya. Solat yang didirikan pada waktu malam juga lebih banyak manfaat dan lebih pahalanya. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Dua rakaat yang dikerjakan oleh hamba pada waktu tengah malam adalah lebih baik baginya dari dunia dan isinya. Dan kalaulah tidak memberi kesukaran kepada umatku, nescaya saya wajibkan kedua rakaat itu atas mereka.” Sabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud: “Kerjakan solat dua rakaat dalam kegelapan malam untuk kesuraman kubur.”

Maka sebaik-baik pengisian waktu malam ialah dengan mendirikan ibadah solat. Allah s.w.t. memberi pandangan kepada golongan ini kerana mereka telah sanggup meninggalkan keenakan dan keselesaan beristirehat untuk bangun mengabdikan diri sebagai seorang hamba. Di tengah-tengah kesejukan dan kedinginan malam, maka golongan ini telah membasuh diri dengan wuduk dan berdiri serta sujud kepada Allah s.w.t. Untuk melakukan pekerjaan ini bukannya mudah. Ia memerlukan kegigihan pada hati serta hidup cintanya dengan Tuhan. Sebab itu Allah s.w.t. menyediakan sebuah syurga bagi hamba-hambaNya yang menghidupkan malam.

Meskipun itu adalah janji dari Allah s.w.t. kepada kita, namun kepayahan untuk menghidupkan malam lebih ketara lagi kerana syaitan turut memainkan peranan dengan bersungguh-sungguh menghalang manusia dari melakukannya. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Diikat oleh syaitan di atas seseorang kamu dengan tiga ikatan apabila ia sedang tidur. Maka syaitan memukul tiap-tiap tempat ikatan tersebut sepanjang malam sehingga tertidurlah kamu. Kalau kamu terbangun dan berzikir kepada Allah s.a.w, nescaya terbukalah satu ikatan. Kalau berwuduk, nescaya terbukalah satu ikatan lagi dan kalau bersolat, nescaya terbukalah semuanya. Sehingga kamu menjadi rajin dan baik jiwanya. Kalau tidak yang demikian, nescaya menjadi keji jiwa dan malas.”

Bila dilihat dari segi halangan-halangan yang terpaksa ditempuhi oleh seseorang yang mahu menghidupkan malam dengan ibadah, maka tidak salah kalau diletakkan mereka dalam golongan manusia yang berjiwa gigih dan hidup cintanya dengan Allah s.w.t. Golongan ini juga telah mewarisi pekerjaan orang-orang soleh. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Haruslah kamu bangun malam kerana itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu. Sesungguhnya bangun malam adalah mendekatkan diri kepada Allah Azzawajalla, menutup segala dosa, menghilangkan segala penyakit pada tubuh dan mencegah daripada dosa.”

Sabda Rasulullah s.a.w., daripada Umar bin al-Khattab yang bermaksud: “Barangsiapa yang mengerjakan solat malam, dan dia membangunkan solat, maka Allah memuliakan dia dengan sembilan perkara: Lima perkara di dunia dan yang empat lagi di akhirat.

Oleh itu, marilah sama-sama kita menyahut tawaran Allah untuk bangun menunaikan qiamullail iaitu ganjarannya terlalu besar nilainya, lebih besar dan bernilai dari dunia ini dan segala isinya. Janganlah sampai ayam yang tidak berakal itu lebih pintar dan lebih baik daripada kita. Seperti nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya, “Wahai anakku, janganlah engkau tidur di kala ayam jantan berkokok pada waktu fajar.”

9 kemuliaan solat Tahajud

1- Dia dijaga oleh Allah daripada beberapa bencana.

2- Berkat ketaatannya, akan nampak pada wajahnya.

3- Dia disukai oleh hamba Allah yang soleh dan oleh semua manusia.

4- Ucapannya mampu mengeluarkan kata-kata yang penuh hikmah.

5- Diberi cepat mengerti dan mendapat ilmu pengetahuan.

6- Dia dibangunkan dari kubur dengan wajah yang putih berseri.

7- Diringankan hisabnya.

8- Melalui titian siratul mustaqim bagaikan kilat yang menyambar.

9- Diberi buku catatan amalannya melalui tangan kanannya di hari kiamat.
(Raudhatul Ulama)

Sembahyang tahajud iaitu sembahyang sunat dua rakaat, merupakan di antara pelbagai shalat sunat yang disyariatkan oleh Allah. Ia ditunaikan apabila seseorang itu terjaga daripada tidur sementara waktu yang paling sesuai melakukannya adalah di antara sepertiga malam iaitu kira-kira dari pukul 2:30 pagi hingga menjelang subuh. Kalau nak sembahyang sebelum tidur, iaitu selepas sembahyang isyak pun boleh, tapi lebih eloklah pada sepertiga malam kerana waktu itulah yang paling sesuai untuk seseorang itu membersihkan jiwa serta mendekatkan diri dengan Allah.

Wahai Allah.. baikilah keadaan orang-orang Islam di Malaysia dalam negeri-negeri dan setiap negara orang-orang Islam. Keseluruhan bumi ini panjang dan lebar nya, bantulah kami untuk menunaikan amanah dalam dakwah dan menyeru pada-Mu. Jadikan kami dari golongan yang membantu-Mu dan membantu Rasul-Mu serta tulus dalam mencintai-Mu dan mencintai Rasul-Mu dengan Rahmat-Mu wahai yang Maha Pengasihani. Tetapkanlah Keselamatan dan `Afiat untuk kami dan mereka, juga hamba-hambaMu yang sedang menunaikan Haji, para Perjuang, para penziarah, orang-orang yang sedang melakukan perjalanan di darat, laut dan udara dari kaum Muslimin, dan Peliharalah kami dari kejahatan orang-orang yang zalim. Dan Bantulah kami terhadap orang-orang yang kafir, wahai Allah, Dzat yang Mengabulkan permohonan orang-orang yang meminta. Akhirilah hidup kami dengan kebaikan, wahai Allah, wahai yang Maha Pengasih di antara yang pengasih. Amin Allahumma Amin..

Wallahu’lam..

Tuesday, January 5, 2010

Sayangilah Ibunda..



Ibu.. Doanya penawar juga racun berbisa. Ibarat tajamnya mata pisau yang mampu melakar masa yang gemilang buat anak tercinta. Juga dapat menghancurkan masa depan si anak derhaka..

Doa ibu setanding doa Nabi untuk umatnya. Membawa kemuliaan. Membuka pintu rezeki. Juga pintu Hidayah.

"Wahai Allah, Sucikanlah bacaan al-Quran yang kami baca, Terimalah solat yang kami tunaikan, Redhailah perbuatan baik yang kami kerjakan, dan Tumbuhkanlah harta yang kami sedekahkan.

Wahai Allah, kami memohon kepada-Mu agar Engkau menjadikan bahagian mereka dari hal itu lebih besar dari bahagian kami, bahagian yang mereka terima dari kami lebih banyak dibandingkan bahagian kami, bahagian mereka dari pahalanya lebih melimpah dibandingkan bahagian kami. Kerana, sesungguhnya Engkau telah pesankan kepada kami untuk berbakti kepada mereka dan menyuruh kami untuk berterima kasih kepada mereka. Engkaulah yang paling berhak untuk menerima bakti dari orang-orang yang berbakti, dan yang paling berhak untuk Dihubungi (dalam segala hal) oleh orang-orang yang diperintahkan."